SAUDARA PENGARANG,
DALAM situasi Covid-19 yang masih mencatat angka tinggi walaupun hampir menjelang Hari Raya Aidilfitri, semua pihak perlu meletakkan akal fikir dan rasa tanggungjawab melebihi keghairahan untuk pulang ke kampung. Ini kerana sebarang kecuaian dan kealpaan akan menjadi punca negara masuk gelombang keempat Covid-19.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, kita kelihatan lebih bersedia hanya pada 2022 sekiranya 60 hingga 70 peratus rakyat menerima vaksin pada penghujung tahun ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pula, berikutan trend terkini penularan dan jangkitan yang sangat membimbangkan, kerajaan mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan. Kata beliau, walaupun ada pihak merayu, namun implikasi buruk yang mungkin berlaku lebih perlu diberi perhatian serius.
Tiada guna kita berhari raya dengan gembira dan berakhir dengan musibah yang membawa derita kepada ahli keluarga serta saudara mara.
Keghairahan pulang berhari raya dan berkumpul beramai-ramai tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) bukan pilihan dalam situasi negara ketika ini. Kepatuhan rakyat amat dituntut demi memastikan lekuk pandemik ini berjaya dilandaikan.
Di sebalik pandemik ini, ia mengajar kita tentang budaya baharu termasuk penggunaan teknologi dalam berkomunikasi sebagai medium meredakan kerinduan kepada ahli keluarga dan sanak saudara di kampung.
Ayuh rakyat Malaysia, kita gandakan usaha dan kesedaran dengan semangat dan tekad seiring dengan aspirasi kerajaan dan petugas barisan hadapan.
Katakan tidak kepada rentas negeri dan jangan sesekali mengundang musibah pada hari raya.
ISMAIL AHMED
Pengarah Pusat Kebudayaan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)