Jangan pula pakai ‘baju kelawar’ ketika PdPR - Utusan Malaysia

Jangan pula pakai ‘baju kelawar’ ketika PdPR

BELAJAR secara dalam talian jika kena dengan caranya akan menjadi sangat menyeronokkan. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DIUCAPKAN selamat belajar kepada semua pelajar yang kini mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Belajar secara dalam talian jika kena dengan caranya akan menjadi sangat menyeronokkan. Namun, keseronokan belajar ini tidak bermakna kita boleh meminggirkan adab dan sopan kepada guru.

Tanpa disedari, adakalanya peri laku kita semasa belajar dalam talian mungkin menyebabkan guru akan kecil hati. Walaupun tidak semua guru mengambil kisah dan menganggap perkara itu boleh dimaafkan, tetapi pembentukan nilai baik, adab susila dan hormat-menghormati oleh pelajar perlu disemai walaupun belajar secara dalam talian.

Pertama, isu pelajar lambat menyertai kelas. Saya pernah terbaca, ada pengajar terpaksa menunggu lama kehadiran pelajar ke kelas dalam talian sehingga lebih sejam tanpa sebab munasabah.

Jika adab berguru, pelajar yang menunggu guru dan bukan sebaliknya. Malah, pelajar yang lewat terbabit memberikan pelbagai alasan seperti tertidur, tidak sengaja, terlupa dengan waktu kelas dan macam-macam alasan lagi.

Kedua, pelajar gemar untuk tidak dikenali dan melakukan penyamaran identiti. Segelintir pelajar didapati tidak menggunakan nama dan gambar sebenar.

Wujud pelajar meletakkan nama samaran dan gambar yang amat tidak sesuai. Ada yang meletakkan gambar komik, artis, tumbuhan, bunga, objek dan sebagainya.

Malah, pelajar turut menggunakan nama samaran seolah-olah berada dalam laman sembang. Bukankah ia merupakan sesi menuntut ilmu yang amat wajar dihormati?

Perbuatan ini sebenarnya amat mengelirukan guru untuk mengenali mereka dan menyusahkan komunikasi dua hala semasa pengajaran.

Ketiga, pelajar gemar mematikan video. Satu perkara yang sering bermain di fikiran guru adalah sama ada pelajar menumpukan perhatian kepada pengajaran atau tidak, lebih-lebih lagi apabila pelajar mematikan video.

Tidak nampak wajah pelajar mereka sendiri. Perasaannya pasti kosong apabila guru tidak dapat melihat wajah dan reaksi pelajar di hadapan mata. Hanya gambar profil yang menjadi tatapan guru.

Keempat, pelajar sebaiknya dengan beradab perlu memohon izin jika mahu bertanyakan soalan semasa guru mengajar. Mekanisme ini sama sahaja seperti kelas bersemuka.

Malangnya, masih terdapat kelompok pelajar yang gemar menyampuk ketika sesi itu dengan penulisan di ruangan sembang yang jelas mengganggu.

Lebih buruk apabila mesej tersebut ditulis secara bertubi-tubi dan beramai-ramai sekali gus. Malah, ada yang tidak berkaitan langsung dengan topik pengajaran.

Keadaan ini sepertinya kurang beradab dan dicadangkan pelajar sebaiknya membiarkan guru menjelaskan sesuatu konsep terlebih dahulu. Jika kurang jelas, baharulah boleh bertanya dengan menggunakan ikon angkat tangan sebelum mengemukakan soalan.

Kelima, sebagaimana pembelajaran bersemuka, pelajar perlu kemas dan jangan berpakaian mencolok mata ataupun selekeh. Adakah jika pelajar berada di kelas secara bersemuka, pelajar masih memakai singlet atau baju kelawar?

Mengapa jika dibuat secara dalam talian, syarat pemakaian perlu dilonggarkan pula? Inilah adab yang perlu diperhalusi oleh pelajar. Berada di rumah bukan bermaksud pelajar tidak perlu berpakaian kemas ketika menuntut ilmu.

Merbah terbang dikejar pemburu,
Pemburu sesat tidak ketemu,
Beradab santunlah kepada guru,
Guru disayang penjana ilmu.

MOHD EFFENDI @ EWAN MOHD. MATORE
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya