SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di Jabatan Imigresen Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Hal ini kerana hanya dua orang pegawai imigresen dilihat mengatur urusan keluar masuk pelanggan sehingga menyebabkan suasana sesak di sepanjang ruang pejalan kaki.
Saya memuji tindakan Jabatan Imigresen menyediakan ruangan khas menunggu untuk pelawat sekitar 200 meter dari kaunter.
Namun, bagi pandangan saya, ia juga patut menjadi tempat menunggu pelanggan sebelum diaturkan masuk satu persatu oleh pegawai bertugas.
Saya tertanya-tanya, kenapa lima hingga enam pegawai ditempatkan di ruangan menunggu di satu bahagian lain bagi memastikan kehadiran pelanggan mengikut senarai janji temu ditetapkan?
Sedangkan bilangan pegawai diperlukan lebih ramai di bahagian menunggu di kaunter bagi memastikan pelanggan mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak sesak.
Situasi ini berbeza apabila saya mengunjungi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Plaza Perangsang pada hari sama.
Pematuhan SOP sangat tinggi dengan staf ditugaskan menjaga kehadiran pelanggan dari tingkat bawah sebelum berurusan di tingkat sembilan.
Saya berharap pegawai imigresen memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung supaya tidak timbul jangkitan Covid-19 mahupun ‘kluster imigresen’.
PELANGGAN PENAT
Shah Alam, Selangor