SAUDARA PENGARANG,
SUDAH lebih setahun Covid-19 menular di muka bumi ini. Mahu tak mahu, kita terpaksa menerima hakikat dan menjalani kehidupan norma baharu ini dalam satu masa yang lama.
Oleh itu, tidak perlulah berterusan menghalang anak-anak yang berada jauh di perantauan daripada pulang menjenguk ibu bapa di kampung. Sampai bila kita mahu menyekat pertemuan ibu bapa dan anak-anak?
Kita boleh memahami seandainya golongan yang dihalang ini sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri menyebabkan mereka tidak kesunyian walaupun terpaksa beraya di perantauan.
Namun, berilah sedikit rasa belas dan simpati buat golongan bujang yang berjauhan daripada keluarga. Sampai bila mahu dihalang daripada pulang berjumpa ibu bapa?
Nyawa ini adalah pinjaman. Allah SWT boleh ambil pada bila-bila masa. Oleh itu, berilah ruang dan peluang untuk golongan ini berjumpa ibu bapa sebelum perkara yang tidak diingini terjadi.
Adakah dengan wujudnya wabak ini menyebabkan pihak pemerintah menjadi tidak berperasaan terhadap rasa rindu yang bersarang di hati ibu bapa dan anak-anak?
Wujud persoalan, adakah semua anak yang pulang ke kampung halaman membawa penyakit, sedangkan banyak kes Covid-19 melibatkan kenduri-kendara, bazar, pusat beli-belah, kilang, tempat kerja dan sebagainya?
Kerajaan sepatutnya lebih proaktif dalam menangani penularan penyakit ini dengan terus menggalakkan bekerja dari rumah.
Justeru, izinkanlah anak-anak di perantauan untuk pulang ke kampung halaman terutama bagi mereka yang mempunyai pengangkutan sendiri dengan meletakkan beberapa syarat seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, selain kerajaan boleh melakukan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mereka sekiranya melanggar arahan yang boleh menjadi punca penularan Covid-19.
HAMIZA
Kuala Lumpur