SAUDARA PENGARANG,
SURAU Al-Furqan yang terletak di Presint 11, Putrajaya merupakan antara surau yang aktif serta menjadi hab masyarakat dalam pelbagai dimensi.
Ketika ini, pengurusan surau menjalankan Kempen Solat Subuh dan Isyak Berjemaah dalam usaha meningkatkan kehadiran jumlah jemaah sepanjang Ramadan. Didapati jumlah jemaah bertambah sejak kempen ini dimulakan pada 1 Ramadan lalu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan membawa ilmuan agama terkenal untuk mengisi waktu kuliah seperti duha antara maghrib dan isyak serta sebelum solat Jumaat.
Turut dijalankan aktiviti solat hajat untuk anak-anak kariah yang bakal menduduki peperiksaan akademik. Ganjaran juga diberikan kepada mereka yang mencapai kecemerlangan akademik hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Agihan makanan kepada golongan asnaf dan pasukan petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya turut dilaksanakan sempena bulan mulia ini, selain menjalankan majlis tadarus al-Quran selepas solat subuh pada setiap hari. Peserta diberi sagu hati sebagai insentif.
Sementara pada hari-hari lain pula, pihak pengurusan melazimkan amalan membaca surah al-Mulk selepas solat isyak setiap hari.
Dari sudut ekonomi, pelbagai aktiviti termasuk menjalankan perniagaan dilakukan bagi menjana sumber kewangan dan tidak bergantung semata-mata pada sumbangan orang ramai.
Surau ini juga mempunyai Koperasi Kariah Surau Al-Furqan Putrajaya Berhad yang menjalankan perniagaan seperti jualan air mineral, kedai gunting rambut lelaki, agihan barang keperluan kepada golongan asnaf dan kedai komuniti, selain menyediakan khairat kematian.
Bagi membendung penularan wabak Covid-19, pihak pengurusan surau amat menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disaran oleh kerajaan, selain sentiasa mengingatkan jemaah agar mematuhi arahan tersebut.
Justeru, saya melihat Surau Al-Furqan wajar dijadikan contoh kerana model yang dilaksanakan oleh pihak pengurusannya sangat profesional serta sesuai dengan kedudukannya di pusat pentadbiran kerajaan.
TOH TAN DEWA SAKTI
Putrajaya