SAUDARA PENGARANG,
SEJAK 2019, Jabatan Penerangan melaksanakan aktiviti info on wheels menggunakan Unit Hebahan Bergerak dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan terus ke telinga orang ramai.
Matlamat projek untuk memperluaskan lagi corak penyampaian agar advocacy, engagement, outreach dan intelligence gahtering dapat dilaksanakan secara komunikasi bersemuka. Pegawai penerangan berperanan sebagai lidah rasmi kerajaan dalam menghuraikan falsafah, dasar dan wawasan kemakmuran negara kepada rakyat.
Kepantasan teknologi maklumat menyebabkan kaedah penyebaran maklumat berubah. Kini, medium penyebaran maklumat tertumpu kepada media sosial. Lambakan maklumat di media sosial terlalu banyak dan tidak tepat sehingga mengelirukan orang ramai.
Masyarakat pula tidak gemar menghadiri program berunsur ilmiah seperti taklimat atau forum, sekali gus memudahkan mereka membuat pelbagai persepsi buruk terhadap kerajaan dan keadaan ini tidak sihat bagi sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
Jabatan Penerangan mengadakan aktiviti bersasar secara bersepadu melalui unit bergerak dan membuka gerai perkhidmatan dengan kolaborasi strategik jabatan dan agensi awam lain yang berfokus.
Fokusnya memasarkan maklumat inisiatif semasa dasar-dasar kerajaan yang memerlukan reaksi rakyat seperti pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19, pengistiyaran Ordinan Darurat, antipemerdagangan orang, kempen memerangi penyalahgunaan dadah dan pendaftaran imunisasi vaksin.
Modus Unit Hebahan Bergerak adalah membuka booth dan memberi perkhidmatan penerangan serta pengedaran bahan bercetak di samping memantau isu-isu berbangkit dan mendapatkan maklum balas awam di kawasan tumpuan ramai.
Masyarakat mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas inisiatif info on wheels yang dilaksanakan untuk memasarkan maklumat secara efektif kepada rakyat.
Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pun sama-sama membuat hebahan dan menyampaikan maklumat imunisasi vaksin Covid-19 serta pendaftaran vaksin kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat Sungai Bonus dan Projek Perumahan Awam Seri Perlis dengan pasukan Unit Hebahan Bergerak info on wheels Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya