BERMAIN politik tidak berapa laku di tanah air ini sekarang ini. Wajah setiap orang meskipun berpelitup muka, ekor matanya terus risau dengan gelombang pandemik Covid ini.
Serangan varian baharu yang khabarnya berupa ‘halimunan’ dan istilah lockdown menyesakkan urat kepala.
Dalam suasana hari ini, ungkapan atau kenyataan yang keluar dari mulut menteri, waima pemimpin tertinggi kerajaan akan ‘dipantau’ rapi. Bermanfaatkah atau akhirnya akan masuk ke ‘perangkap’ media sosial dan musuh-musuh politik.
Meskipun kenyataan biasa akan mudah dilupai, ada segolongan ungkapan yang diingati. Kadangkala ungkapan itu lebih diingati lagi kerana gaya dan cara penyampaiannya. Yang penting waktu sekarang ialah buah fikiran dan gaya penyampaian. Jika kedua-dua ini dapat dikuasai oleh pengungkapnya, sebahagian bebannya akan dapat diatasi.
Gurau saya kepada seorang rakan seperjuangan yang gemar menggunakan kata-kata kiasan tentang peristiwa yang berlaku di sekelilingnya: “Susah orang muda sekarang hendak ‘baca’ maksud tersirat. Mereka lebih suka berterus-terang.”
Jawabnya ringkas: “Peribahasa ini lebih manis, maksudnya dalam…kurang menyakitkan.”
PENGAJARAN
Bagi saya, peribahasa memberi pengajaran. Mengingatkan individu pelbagai kemungkinan yang akan datang. Tujuannya menegur, melarang membuat sesuatu.
Seingat kita pun, masyarakat Cina ada memakai peribahasa. Disebut chengyu, mempunyai sejarah sangat tua – seiring sejarah peradaban Cina dan perkembangan bahasa Tionghoa.
Peribahasa Tionghoa mempunyai asal usul cerita menarik. Biasanya dari mitologi atau fakta sejarah. Atau muncul hasil dari karya sastera pelbagai dinasti dalam sejarah Cina.
Namun dengan situasi politik dan pandemik Covid-19 yang kelam hari ini, ditambah kehidupan mencabar – sarat dengan memikir kos sara hidup itu ini – peribahasa dan budi pekerti dalam berbahasa nampaknya sudah luput. Menggantikannya adalah troll serta bahasa kesat diselitkan slanga yang beraja di laman sosial.
Troll memberi pendapat berlawanan daripada orang lain termasuk parody atau kata lain, ‘makan dalam’.
Tapi nak troll pun mesti ada point. Bukannya boleh troll membuta-tuli. Mesti bersiap sedia dengan fakta yang kukuh berbaur sarkastik, sindiran untuk mempertahankan pendirian anda.
Peribahasa Melayu dan troll – dua penyampaian berbeza, tetapi motif penggunaannya masih sama.
Cuma saya yang dalam kategori orang lama yang sempat merasai kehidupan di zaman Allahyarham Datuk Harun Idris tahun-tahun 70-an di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya ini masih ‘enggan berpisah’ dengan peribahasa.
HARAPAN
Seperti mana situasi politik Malaysia dan gelora pandemik yang masuk tahun kedua 2021 ini yang membentuk pemikiran dan kehidupan bersimpang-siur kita dalam masyarakat, saya berharap parti politik tertentu tidak berperilaku bak “bagai sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga” (1).
Ada sebilangan parti sudah pun merentasi pembaharuan mendapat apa yang diimpikan selepas 9 Mei 2018, tetapi malangnya masih bermain sentimen blame game.
Kerana insiden provokasi yang dibimbangi mengundang amarah kaum lain, saya juga kasihan kepada sebuah parti ini kalau-kalau kelak terus dicap “bagai ubur-ubur airnya hitam” (2).
Sudah tentu parti terbabit tidak mahu digelar sebegitu sekali lagi dek selepas meraih sokongan pengundi, kuasa dan imej bak nanti dicap “hanya bagai arang habis, besi binasa, tukang hembus penat sahaja” (3).
Siapapun selepas melalui kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan setahun di bawah Perikatan Nasional sejak Mac 2020 akan menilai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) parti-parti kerajaan dan parti pembangkang. Jangan lupa pada bidalan “bagai sekali bekas kena, dua kali bekas tahu, tiga kali bekas jeran (4)”.
Mana-mana kaum pun tidak akan membiarkan diri mereka dipergunakan sekali lagi oleh parti-parti yang telah mereka sanjung dan julang bagai “sayang kaki pada terompah” (5).
Pengundi yang berhempas pulas memenangkan parti tertentu, pastinya tidak mahu menerima nasib sama dihidangkan janji-janji melangit. Tapi bila tiba masanya, bak indah khabar dari rupa. Juga “bagai guna-guna alu, sesudah menumbuk dicampakkan” (6).
Jasa pengundi PRU-14 tempoh hari kelak begitu mudah dilupakan. Langsung bagai mayang menolak seludang (7).
Kita bagaimanapun yakin rakyat hari ini tidak akan diperdayakan dengan dakyah-dakyah dan fitnah yang tular dan menjengkelkan. Diharap tidak mendatang kelak suatu perasaan “bak mandi di air kiambang, pelak lepas gatal pun datang” (8).
Jangan pemimpin-pemimpin politik seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (9).
Akhirnya rakyat yang tersepit. Dan rakyat pastinya tidak akan jatuh lagi dalam lubang yang sama.
Kepada mereka yang berkuasa dan boleh membentuk polisi untung nasib rakyat, awal dibuat, akhir diingat (10). – MINGGUAN