SAUDARA PENGARANG,
TUGAS pendidik bukan sahaja mencurahkan ilmu pengetahuan bahkan perlu menunjukkan contoh atau menjadi role model yang terbaik kepada pelajar. Tingkah laku dan pertuturan seorang guru secara tidak langsung akan mempengaruhi tindak tanduk pelajar pada kemudian hari. Jika guru mempunyai perwatakan yang baik dan disenangi, sudah tentu ilmu yang disampaikan mudah diterima oleh pelajar.
Namun, apa yang dikesali, terdapat dalam kalangan guru yang secara sengaja atau tidak sengaja mengambil kesempatan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dalam gurauan semasa di bilik darjah.
Pendedahan awal dalam pendidikan seksualiti adalah perlu bagi mengelakkan jenayah seksual dan sebagai pengetahuan dalam menjaga keselamatan diri daripada gangguan di persekitaran mereka.
Pendedahan awal di peringkat prasekolah bertujuan mengelak dan mengurangkan kes-kes pencabulan terhadap kanak-kanak. Melalui pendidikan seksualiti, diharap pelajar mengetahui cara untuk menjaga keselamatan diri daripada jenayah seksual.
Adalah tidak wajar sebagai seorang guru mengambil peluang ini untuk menggunakan atau menggalakkan pelajar melakukan sesuatu yang buruk.
Jenayah seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di kawasan selamat seperti rumah dan sekolah. Apabila berlaku gangguan seksual di sekolah, keselamatan pelajar mula terjejas. Tindakan tegas perlu diambil terhadap guru yang melakukan perkara tidak bermoral sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar.
Dorongan negatif seperti ini sebenarnya menggalakkan lagi krisis akhlak dan moral dalam kalangan pelajar sehingga terjebak dengan masalah tingkah laku, lebih-lebih lagi menerima galakan daripada orang yang dipercayai seperti guru.
Menggalakkan pelajar melakukan perbuatan merogol adalah satu kesalahan yang tidak dapat dimaafkan walaupun ia adalah gurauan. Kemungkinan terdapat pelajar yang ingin mencuba perbuatan tersebut sekali gus dikhuatiri membawa kepada ketagihan seks. Oleh itu, jagalah tutur kata agar gurauan sedemikian tidak menjadi kenyataan.
Didiklah pelajar seperti kita mendidik anak sendiri dengan memberi ilmu yang bukan sahaja untuk pencapaian akademik tetapi dapat membentuk mereka menjadi insan mulia yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Oleh itu, semua pihak termasuk guru perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan sahsiah pelajar. Jadilah guru yang dicontohi dan dihormati oleh segenap lapisan. Bercakaplah perkara-perkara yang baik dihadapan pelajar.
DR. AZIZAH ZAIN
Pensyarah Kanan
Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak
Fakulti Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris