Duit raya: Sedekah atau rasuah kepada kanak-kanak? - Utusan Malaysia

Duit raya: Sedekah atau rasuah kepada kanak-kanak?

Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, golongan paling gembira ialah kanak-kanak kerana dapat mengumpul duit raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal merupakan kemuncak kepada ibadat puasa. Lazimnya diraikan penuh dengan kemeriahan. Sudah pastilah golongan paling gembira adalah kanak-kanak kerana inilah peluang untuk menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga di samping ia merupakan peluang untuk mendapat duit raya daripada tuan rumah.

Namun begitu, wujud polemik dalam masyarakat tentang pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Dari aspek positif, amalan ini sebahagian daripada ibadah bersedekah yang disulami dengan tradisi baik (uruf sahih) dalam medium pemberian duit raya. Bersedekah ini adalah sebagai lanjutan daripada amalan yang dilakukan dalam Ramadan.

Di samping itu, ia juga dapat membuka ruang interaksi kanak-kanak dengan komuniti kejiranannya.

Duit yang diterima biasanya dibelanjakan di kedai-kedai berhampiran sekali gus menggerakkan ekonomi setempat. Selain itu, ada juga menyimpan duit yang diterima.

Sementara aspek negatif amalan ini antara lain adalah ia sebahagian daripada didikan yang bersifat materialistik. Ini kerana mereka diajar tentang mengharapkan duit daripada tuan rumah, bukannya menziarahi jiran sekeliling untuk saling mengenali dengan ikhlas. Malah, pemberian ini membuka ruang kepada gejala rasuah pada kemudian hari kerana mereka dididik untuk mengharapkan ganjaran daripada orang lain disebabkan berpuasa.

Selain itu, terdapat dakwaan amalan ini menambah beban kewangan pihak pemberi kerana seolah-olah menjadi kewajipan untuk memberi duit ketika sambutan hari raya.

Dalam pada itu, ada juga pandangan yang mempertikaikan sedekah selepas Ramadan yang kurang fadilatnya. Di samping itu, tradisi ini juga didakwa meniru amalan budaya kaum lain. Peniruan ini dikaitkan dengan unsur tasyabbuh (penyerupaan) yang dilarang dalam Islam.

Pandangan saya, tradisi memberi sampul raya adalah sebahagian daripada amalan sedekah yang digalakkan dalam Islam.

Selain itu, pemberian duit raya tujuannya tidak lain adalah untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak berpuasa dan menziarahi jiran.

Dalam suasana meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan pembudayaan norma baharu ketika pandemik Covid-19, amalan pemberian duit raya boleh memanfaatkan pelbagai teknologi yang ditawarkan terutama berbentuk tanpa sentuhan. Antaranya aplikasi DuitNow dan QRPay yang ditawarkan oleh bank, pemindahan terus ke dalam akaun bank akaun penerima dan kredit e-dompet.

Justeru, amalan pemberian duit raya adalah selari dengan Islam kerana walaupun ia bernuansakan tradisi tetapi titik tolaknya adalah amalan sedekah. Tidak semua tradisi masyarakat setempat itu tidak baik (fasid). Bahkan, selain dapat memperoleh ganjaran pahala, ia juga dapat menceriakan pihak yang menerima duit raya terutama kanak-kanak.

PROF. MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya