MUNGKIN Nilai sudah jadi sebahagian daerah dalam Selangor. Hebat peta pun boleh diubah kalau begitu – Sebenarnya ini sesuatu yang sukar untuk dijelaskan apatah lagi untuk orang ramai memahaminya secara kasar atau halus.
Jadi pastinya, ramai mudah membuat kesimpulan bahawa kalau tidak terkenal, punya banyak wang dan cantik, anda tergolong dalam kategori tidak ‘mesra undang-undang’.
Betulkah di negara ini kita bukan dilarang langgar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tetapi dilarang miskin? Itu kata-kata yang bertebaran dalam media sosial. Jika ini hanya kenyataan semberono dan tiada asasnya, ia patut segera diperbetulkan.
Tetapi dengan tindakan bukan sekadar cakap-cakap dan membuat penegasan.
Manakan tidak, bagaikan sudah menjadi perkara biasa di negara ini, ahli politik dan selebriti melalui jalan yang penuh berliku untuk didakwa bila melanggar SOP, sedangkan rakyat biasa jam itu didapati langgar SOP, jam itu jugalah kompaun dikeluarkan.
Tiada tunggu siasat-siasat lagi. Tiada tunggu dipanggil ke balai polis lagi dan tiada tunggu buka kertas siasatan lagi.
Saya tidak mahu mengulas panjang kes pelanggaran SOP berkali-kali seorang selebriti yang mendapat anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah di Kelantan pada April lalu.
Iyalah, bila sudah ada yang mengaitkan dirinya ditindas seperti rakyat Palestin di negara ini, siapa pula lah macam Israel yang menindas itu?
Yang jelasnya soal melanggar SOP Covid-19, sudah banyak kali dibangkitkan dan diperdebatkan. Kerajaan dan pihak berkuasa juga sudah selalu menekankan, menafikan dan memberi jaminan tiada istilah ‘golongan kayangan’. Pihak yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman tidak mengira kedudukan mereka.
Negara ini pun sudah ada peruntukan undang-undang yang sangat jelas dari segi pelanggaran SOP Covid-19 ini. Yalah, sedangkan pelajar-pelajar yang tiada punca pendapatan pun disaman tanpa sebarang pertimbangan.
Golongan peniaga kecil yang susah cari makan di musim pandemik ini pun turut dikeluarkan surat saman serta merta tanpa budi bicara lagi. Nampak begitu tegas negara ini dari segi penguatkuasaan.Tiada pengecualian. Tiada kompromi.
Apatah lagi kesalahan sama yang dilakukan banyak kali, hukumannya lebih berat. Undang-undang kita bukan undang-undang rimba. Semuanya sudah jelas peruntukannya.
Tetapi apabila pada pihak yang digelar golongan kayangan ini, tidak nampak pun ketegasan itu, malah, tindakan umpama melambat-lambatkan hantaran bola kerana menunggu wisel tamat perlawanan, tentulah ini memberi kemarahan orang ramai.
Layanan undang-undang yang double standard terhadap golongan kayangan ini sudah tentu memberi persepsi buruk terhadap sistem perundangan negara. Undang-undang adalah menegakkan keadilan, bukan dipilih-pilih siapa yang patut dihukum dan siapa yang boleh lepas.
Di kala rakyat sudah letih dengan segala SOP yang diperketatkan dan terus diperketatkan lagi, isu-isu pelanggaran SOP yang disebarkan dalam media sosial ini sudah pasti menerima kecaman ramai.
Dan memberi tumpuan hanya kepada golongan kayangan ini dalam pematuhan SOP juga, janganlah ibarat kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata buat-buat tak nampak.
Mengata dan mengutuk ahli politik dan selebriti melanggar SOP Covid-19 dalam media sosial bukan main lagi, diri sendiri selamba saja membawa bayi dan anak-anak kecil ke pusat beli-belah atau sanggup bersesak berbelanja, tetap juga berkelah di pusat beli-belah kerana makan di restoran tidak dibenarkan, ini apa cerita? – MINGGUAN