Belanja RM2.8 trilion untuk imunisasi - Utusan Malaysia

Belanja RM2.8 trilion untuk imunisasi

SEMUA pihak perlu menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berjalan. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TANPA kita sedar, sejak sebelum merdeka lagi negara ini menggunakan kaedah imunisasi dalam mencegah penularan sesuatu wabak atau virus.

Walaupun ada yang anti terhadap pengambilan vaksin, namun sejarah menunjukkan betapa vaksin telah banyak menyelamatkan nyawa penduduk dunia, termasuklah di Malaysia.

Hakikatnya, memberi vaksin kepada rakyat kita bukanlah secara percuma. Ia memerlukan belanja yang amat besar dan berterusan.

Cumanya kerajaan kita telah mengambil keputusan untuk menanggung setiap kos melalui proses pembelian dan pemberian vaksin ini kepada rakyat.

Justeru, tanpa rakyat sedar, kerajaan sudah banyak berbelanja untuk Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) sejak 1950-an lagi.

Jangan kita terkejut sekiranya fakta menunjukkan negara sudah membelanjakan sebanyak RM2.8 trilion sejak merdeka semata-mata untuk diguna bagi program imunisasi, kos merawat penyakit berjangkit dan komplikasi yang dialami.

Kos tersebut mungkin jauh lebih tinggi daripada angka tersebut kerana ia tidak termasuk perbelanjaan peralatan dan bayaran kepada para petugas kesihatan.

Apatah lagi kita harus ingat, kos pada 1960 sebagai contoh pasti tidak sama dengan kos pada 2010 atau 2020. Sudah pasti saban tahun kos-kos berkaitan akan meningkat sama ada kos barangan, kepakaran atau perkhidmatan.

Jadi, kita perlu juga mengikut sudut pandang hukum ekonomi dalam membuat tafsiran berkaitan kos yang dibelanjakan kerajaan untuk NIP ini.

Jika kita tidak membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk proses vaksinasi ini, kita terpaksa berhadapan dengan cabaran dan risiko penyakit-penyakit yang bahaya seperti tibi, polio dan hepatitis B.

Dengan adanya vaksinasi ini, maka kita dapat lihat kes polio sudah dapat diatasi, kes tibi dikurangkan dan sawan gila babi pun sudah kurang kedengaran.

Ini semua boleh dicapai apabila kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk menggerakkan NIP.

Mereka yang mempertikai kos besar untuk proses vaksinasi mungkin tidak tahu yang negara akan mengalami masalah lebih besar jika terpaksa mengurus penularan wabak penyakit-penyakit tersebut.

Lihat sendiri bagaimana kita sedang uruskan penularan pandemik Covid-19. Berapa bilion wang terpaksa dibelanjakan bagi merawat penyakit apabila sesuatu virus itu masih tiada ubat ditemui.

Sebab itu, antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah dengan mempercepatkan proses membawa masuk vaksin Covid-19.

Inilah pentingnya vaksinasi dalam kehidupan seharian kita. Ia mungkin memakan belanja yang agak besar, namun ia satu kaedah paling berkesan saat ini untuk menghindarkan negara kita daripada kerugian lebih besar.

Pada masa sama, bersyukurlah dengan apa yang kita dapat selama ini. Jika kita perasan, terlalu banyak perkara percuma di Malaysia.

Bak kata seorang warganegara Indonesia yang saya temui bekerja di negara ini, setakat perlu bayar RM40 untuk terima perkhidmatan di hospital kerajaan, ia seolah-olah percuma sahaja kalau hendak dibandingkan dengan negaranya. Kos di Indonesia jauh lebih mahal.

Jadi, tolong jangan sia-siakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kali ini kerana kerajaan telah membelanjakan lebih RM3 bilion hanya untuk memastikan negara kita dapat membentuk imuniti kelompok menjelang 2022.

DR. MUHAMMAD KELANTANI
Bandar Baru Bangi, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya