SAUDARA PENGARANG,
PERTAMA sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana berkongsi tip penjimatan elektrik yang memberi banyak manfaat kepada pengguna.
TNB menyarankan pengguna kediaman agar mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh cuaca panas ketika ini.
Penggunaan elektrik mungkin meningkat apabila orang ramai perlu mematuhi arahan duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Amalan mudah untuk penjimatan elektrik adalah seperti berikut:
-Tidak membiarkan pendingin hawa, kipas dan lampu terpasang dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.
-Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.
-Menyenggara pendingin hawa dengan kerap membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum serta lebih menjimatkan elektrik. Kotoran pada penapis menghalang pengedaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.
-Ketika cuaca panas terik, tindakan menutup tingkap dengan langsir yang tebal boleh menghalang haba daripada masuk dan membebankan pendingin hawa. Semakin kurang beban pada pendingin hawa untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.
-Pada waktu malam, cuma hidupkan kipas.
BULBR SINGH
Bekas Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Negeri Sembilan