SAUDARA PENGARANG
MERUJUK artikel bertajuk Di mana saudara Sajjad? yang ditulis oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada 18 Mac lalu.
Satu komentar yang bernas oleh tokoh akademik ini mengenai isu kecaman terhadap seorang lelaki yang mempunyai jiwa wanita, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.
Beliau mengupas isu ini dari sisi nilai kemanusiaan, mengenai siapa kita sebagai insan? Apa yang menjadikan kita sebagai insan? Apa yang membezakan kita seorang insan dengan seekor haiwan?
Semacam satu rumusan oleh Dzulkifli kepada komen-komen yang tersiar dalam media sosial apabila beliau menulis: “Tidak ramai yang ingin faham perasaan serta emosinya, apa lagi aspek rohani…”
Kemungkinan besar komen-komen tersebut melampaui batas dan terlalu berat buat seseorang insan untuk menanggung kecaman tersebut.
Saya tidak terkejut jika ramai yang menjadi murung apabila terkena kecaman warganet yang mungkin melampaui batas. Ada yang bertindak membunuh diri gara-gara tidak tahan menghadapi kecaman oleh warganet seperti yang terjadi kepada artis-artis di Korea Selatan.
Warganet mudah menghamburkan kata-kata kejian kerana perbuatan itu tidak memerlukan modal. Kadang-kadang saya pun berasa takut dengan tindakan warganet terbabit yang melampaui batas.
Di manakah kewarasan dan sifat kemanusiaan kita apabila melemparkan kritikan? Bukan tidak boleh mengkritik tetapi biarlah ia ‘disaluti’ dengan nilai-nilai kemanusiaan.
KENNETH CHEW
Pulau Pinang