SAUDARA PENGARANG,
SUDAH terlalu banyak pendedahan dibuat oleh media mengenai tindak tanduk warga asing yang sewenang-wenangnya melanggar syarat permit kerja.
Warga asing yang bekerja di sektor tertentu didapati terlibat dalam perniagaan runcit seperti didedahkan Utusan Malaysia, baru-baru ini. Menurut laporan tersebut, warga Bangladesh mengusahakan kebun sayur di Pulau Pinang dan Kedah.
Ini bukan kes pertama kerana beberapa akhbar lain juga pernah melaporkan mengenai kebun haram warga Bangladesh di Bukit Beruntung, Selangor.
Majikan selalu merungut kekurangan tenaga kerja walaupun negara ini dibanjiri warga asing. Ini kerana pekerja asing tidak lagi mahu bekerja secara makan gaji sebaliknya ingin menguruskan perniagaan sendiri atau menjadi tauke dengan menggajikan rakyat tempatan.
Peliknya, warga asing boleh mengusahakan kebun sayur selama bertahun-tahun tanpa tindakan pihak berkuasa sementara masyarakat sekeliling pula sudah tidak lagi mengambil peduli mengenainya selagi mereka dapat beli barang pada harga murah.
Sikap tidak ambil peduli ini menyebabkan warga asing semakin berani melanggar undang-undang dengan bekerja di sektor yang tidak dibenarkan.
Jabatan Imigresen perlu lebih proaktif dalam memantau aktiviti pekerja asing tanpa menunggu media mendedahkan isu tersebut. Jika jabatan itu mampu membongkar sindiket pemalsuan dokumen oleh warga asing yang beroperasi secara tersembunyi, sepatutnya tiada masalah untuk mengesan aktiviti warga asing yang menjadi tauke kedai dan kebun sayur.
Usir sahaja pekerja asing yang melanggar permit bagi menunjukkan negara ini mempunyai peraturan dan undang-undang.
ANTI PATI
Kuala Lumpur