SAUDARA PENGARANG,
UCAPAN Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada 27 Mac lalu menggariskan tiga perkara bagi memastikan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tiga perkara itu adalah tidak boleh keliru terhadap musuh sebenar, urus pihak yang berpura pura menyokong parti dan mereka yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah juga musuh UMNO.
Pada keesokan harinya pula, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memuktamadkan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun, timbul persoalan, adakah UMNO memilih untuk bermusuh dengan orang Melayu kerana parti itu kini memilih memusuhi Bersatu?
UMNO sering melaungkan kemahuan akar umbi tetapi yang pasti akar umbi parti sangat bersyukur dan menerima penyatuan antara UMNO, Bersatu dan Pas sehingga berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.
Ini sebenarnya bukan kemahuan akar umbi tetapi pemimpin UMNO yang mahu ‘menguasai’ pentadbiran negara walaupun kalah dalam PRU 14.
Percayalah, akar umbi UMNO, Pas dan Bersatu tidak kisah siapa pun yang menjadi Perdana Menteri kerana tiada kepentingan jawatan dan habuan.
AZIZIM
Ladang Bedford, Slim River
Perak