SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK kepada kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 Mac lalu, pendaftaran pemilih automatik dan pengundi 18 tahun (Undi18) hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal pelaksanaannya.
Majlis Belia Malaysia (MBM) kecewa dengan penundaan berkenaan dan berpendapat, alasan yang diberikan oleh SPR adalah lemah yang dilihat cuba berselindung di sebalik pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Masih terlalu awal untuk menyerah kalah dengan mengumumkan penundaan sedangkan masih berbaki tiga hingga enam bulan sebelum tarikh pelaksanaan asal yang diumumkan sebelum ini.
Oleh itu, MBM menuntut SPR memberikan status terkini tindakan dan gerak kerja yang telah dilaksanakan setakat Mac lalu dan langkah-langkah selanjutnya.
MBM juga percaya, komponen Undi18 boleh dilaksanakan dengan segera jika dibuat secara berasingan dengan pendaftaran pengundi automatik.
Ini kerana satu lagi komponen Undi18, iaitu had umur calon dalam pilihan raya telah dilaksanakan sejak 2019, iaitu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Adalah amat janggal sekiranya mereka yang berumur 18 tahun boleh menjadi calon tetapi tidak boleh mengundi.
MOHD. IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden MBM