Selenggara kemudahan sukan, rekreasi walaupun semasa PKP - Utusan Malaysia

Selenggara kemudahan sukan, rekreasi walaupun semasa PKP

STADIUM Johor Darul Takzim (JDT) menambah baik padang dan kemudahan lain walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMBUKAAN semula sektor sukan dan rekreasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melegakan banyak pihak terutama pengusaha dan penggiat bidang itu. Malah acara sukan besar seperti Liga Super bakal diadakan dengan kehadiran penonton di stadium tidak lama lagi. Ia merupakan satu langkah tepat tatkala sektor sukan ini benar-benar dalam keadaan suram sejak setahun lalu.

Selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengekang Covid-19, faktor keselamatan kemudahan yang ada perlu diberikan keutamaan sebaik mungkin tidak kira milik awam atau swasta. Penutupan operasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang mungkin menyebabkan kemudahan sedia ada tidak berada dalam keadaan sepatutnya sekaligus bakal mengundang bahaya kepada pengguna kelak.

Pihak pengurusan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), jawatan kuasa sesebuah kawasan, pengusaha atau operator swasta sepatutnya mengambil langkah proaktif dalam memastikan segala kemudahan yang ada kekal dalam keadaan baik sepanjang tempoh PKP. Pendekatan penyeleggaraan secara berkala perlu dilaksanakan dan tidak seharusnya berhenti walaupun kemudahan tersebut tidak beroperasi. Tinjauan umum di kemudahan sukan dan rekreasi mendapati kebanyakannya tidak diselenggara dengan baik.

Tempoh PKP tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan elemen penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan. Mengambil contoh kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang mengambil langkah dengan menambah baik kemudahan padang di Stadium Sultan Ibrahim walaupun usianya tidak sampai setahun.

Langkah budaya kelas pertama yang mengutamakan kualiti sukan dan rekreasi dengan menyediakan fasiliti dan penyelenggaraan yang baik seharusnya dicontohi.

Perlu diingat, sistem penyelenggaraan yang baik bukan sahaja mampu memberikan keselesaan kepada pengguna bahkan mengurangkan risiko kemalangan di tempat awam. Selain itu, ia mampu memanjangkan jangka hayat sesuatu peralatan dan kemudahan. Penyelenggaraan secara reaktif dan ad-hoc tanpa perancangan sistematik akan menjurus kepada peningkatan kos dan tidak ekonomi.

Penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi tidak tidak boleh dianggap seperti melepas batuk ditangga, sekadar melengkapkan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Pihak yang terlibat perlu memberi perhatian serius dan tidak mengambil mudah dalam hal penyelenggaraan agar ia boleh digunakan sebaik mungkin sama ada oleh atlet atau orang awam.

DR. MUHAMMAD AZWAN SULAIMAN
& SYARAFUDDIN MOHD. NOOR
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya