Rakyat mahukan pembangunan - Utusan Malaysia

Rakyat mahukan pembangunan

Kawasan yang dirancang untuk dilaksanakan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA amat terperanjat dengan kenyataan Presiden Persatuan Pencinta Alam (MNS) Malaysia baru-baru ini berkaitan pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, Melaka.

Untuk pengetahuan, lokasi KLIP telah diubah ke kawasan yang lebih sesuai dan menepati keperluan kelulusan kajian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kira-kira dua tahun lalu.

Nampaknya MNS lebih mementingkan buaya katak dan kelip-kelip daripada kepentingan berpuluh ribu peluang pekerjaan yang akan dijana oleh KLIP.

Adalah lebih baik MNS bangkitkan isu-isu pembalakan dan penerokaan tanah secara haram. Untuk pengetahuan MNS, KLIP adalah projek ‘halal’.

Janganlah nanti MNS pula yang dituduh bertindak untuk sabotaj projek ‘halal’ serta menafikan kepentingan anak-anak muda yang mencari pekerjaan untuk manfaat jangka panjang, sedangkan isu-isu di depan mata pula buat-buat tidak nampak.

Sedarkah mereka bahawa Thailand walaupun berdepan pandemik Covid-19, berjaya menyiapkan pembinaan Lapangan Terbang Betong di Yala iaitu sebuah wilayah serba ketinggalan bertujuan merancakkan ekonomi.

MNS haruslah berasa malu, apabila pihak swasta mahu membangunkan projek mega bertaraf antarabangsa tetapi mereka mencari jalan mengganggu kelancarannya.

Berhentilah mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk landasan fakta. Untuk makluman MNS, Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat telah menyatakan persetujuan kepada pelaksanaan projek KLIP serta tidak mahu ketinggalan di dalam arus pembangunan yang dilaksanakan oleh pemaju. Sebenarnya, merekalah yang lebih terjejas sekiranya ada isu-isu berkaitan alam sekitar.

Diharap limpahan ekonomi projek KLIP ini akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak pekebun kecil, nelayan dan warga kampung lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang muram ketika ini.

MNS janganlah menjadi anti pembangunan pula. Perlu diingat, untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor pun banyak katak pisang, buaya katak dan kelip-kelip yang terpaksa dikorbankan.

Tolonglah! Orang luar jangan terlalu masuk campur urusan pembangunan yang memberi banyak manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada kami rakyat marhaen di Kuala Linggi. Berilah peluang untuk kami mengecapi pembangunan yang lestari demi masa depan anak cucu masing-masing.

Syabas KLIP. Kami menyambut baik pembangunan projek tersebut.

FAIZ RAHMAN
Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya