SAUDARA PENGARANG,
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan tidak lama lagi tidak boleh disamakan dengan PRU sebelumnya.
Ini kerana PRU kali ini bukan lagi bertujuan melihat parti mana memenangi banyak kerusi, sebaliknya untuk mengembalikan kuasa politik orang Melayu yang sebelum ini telah dirampas.
Politik negara ini seolah-olah dikuasai kaum bukan Melayu pada PRU-14 sebelum Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Sekiranya ada ahli UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ia seolah-olah memutuskan silaturahim sesama Melayu Islam.
Jika dilihat, Pas, UMNO dan Bersatu mempunyai dasar perjuangan yang boleh dikatakan sama dan amat sesuai untuk memimpin negara.
Perpecahan umat Islam berpunca daripada sikap pemimpin yang tamak kuasa. Apabila ada kuasa, pemimpin sebegini menggunakan kuasa politik untuk mencari kekayaan peribadi bersama konconya.
Justeru, pada PRU-15, pemimpin yang mempunyai agenda atau sikap individualistik perlu berubah agar mendapat kepercayaan daripada orang ramai.
Apabila kuasa politik berada dua per tiga kerusi di tangan orang Melayu-Islam, maka semua dasar yang dirancang sudah tentu berjaya. Namun, sekiranya ketiga-tiga parti ini tidak bekerjasama, sudah tentu corak negara ini akan dibentuk mengikut acuan pihak lain.
OMAR LOLO
Kuala Lumpur