SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN lemas di Kampung Loyang, Temerloh dan Sungai Mas, Kuantan, Pahang baru-baru ini berlaku pada musim kemarau.
Bencana alam tidak boleh digunakan sebagai faktor tragedi, sebaliknya lebih kepada kecuaian orang ramai terhadap risiko dan bahaya apabila kurang kesedaran mengenai aspek-aspek keselamatan.
Bagi mengurangkan kemalangan lemas, beberapa langkah perlu diambil. Antaranya melengkapkan diri dengan ilmu berenang. Pastikan diri sendiri dan keluarga dilengkapi ilmu ini agar dapat menyelamatkan diri ketika kecemasan.
Sementara itu, pihak berwajib seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS) diberi kuasa penuh untuk melarang orang awam mandi-manda di sungai pada masa-masa tertentu.
Papan tanda amaran dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas termasuk denda sekiranya melanggar peraturan perlu dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang bersesuaian.
Pihak berwajib seharusnya mencadangkan aktiviti di laut pada musim kemarau digantikan dengan pesta mandi pasir atau mandi pantai sungai sebagai pesta tahunan terutama antara April dan Ogos bagi merancakkan sektor pelancongan.
Pun begitu, langkah-langkah keselamatan mesti diutamakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia.
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur