SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN perbahasan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 baru-baru ini, pimpinan parti keramat itu dilihat masih tidak berubah. Budaya lama dan lapuk seolah-olah masih kuat dan kukuh dalam minda mereka walaupun ia menjadi punca kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Bahkan barisan pimpinan semakin angkuh dan sombong seolah-olah merekalah yang kuat dalam politik.
Sepatutnya isu penting seperti membersih dan menyikirkan mereka yang korup perlu dibahaskan. Namun, isu ini tidak disentuh langsung. Budaya menyembunyikan sampah di bawah karpet masih diamalkan. Inilah puncanya kepincangan berlaku dalam barisan kepemimpinan.
Kepimpinan UMNO perlu berani membersihkan yang mungkar dan digantikan dengan kepimpinan muda.
Rakyat tidak mahu mendengar dendangan lama yang penuh dengan tipu muslihat dan akhirnya merugikan negara. Politik hari ini berteraskan kebenaran, ketelusan dan keadilan untuk semua.
Tak usahlah lagi berbangga dengan kepimpinan lama. Sepanjang PAU 2020, tiada isu rakyat yang dibincangkan, hanya sekadar isu-isu mahu perkukuhkan kepimpinan yang ada walaupun sebilangan besar daripada mereka adalah kluster mahkamah.
Ingatlah, pengundi dalam kalangan ahli UMNO hanyalah satu pertiga dan selebihnya terdiri daripada bukan ahli. Mereka mampu melenyapkan UMNO jika kepimpinan yang ada masih mengamalkan budaya lama penuh dengan angkuh dan sombong.
PENGUNDI PRIHATIN
Kuala Lumpur