Padah berkawan dengan syaitan - Utusan Malaysia

Padah berkawan dengan syaitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sebuah kisah yang ingin aku ceritakan. Kisah ini berlaku awal 80-an di kampung kelahiranku yang terletak di sebuah daerah di utara Semenanjung. Ketika itu aku baru berusia 25 tahun, namun segalanya masih kekal tersemat di memori ingatanku sehingga kini.
Begini kisahnya…
Aku punya seorang teman rapat bernama Sahak. Kami memang akrab apatah lagi usia kami sebaya. Dia ada seorang makcik bernama Rokiah. Namun digelar Kiah Kebaya kerana sering melaram keliling kampung dengan kebaya ketatnya. Usianya sudah menjangkau separuh abad, namun rupa paras tak ubah seperti gadis sunti.
Di kampung dia memang ‘hot’ dan sering menjadi usikan pemuda termasuklah suami orang. Masakan tidak, nampak sahaja kelibatnya sudah cukup buat semua yang melihatnya terlopong mulut. Namun di sebalik kecantikannya tersimpan rahsia tersembunyi.
Kiah kebaya sudah berkahwin sebanyak lima kali. Namun semuanya tidak kekal lama. Empat orang suaminya telah meninggal dunia. Yang masih hidup cuma Abang Mamat sahaja yang kini sudah berpindah di pekan. Semua orang tertanya-tanya kenapa jodoh Kak Kiah tak kekal lama? Tanya Abang Mamat pun dia tak pernah cerita. Jawabnya jodoh tidak panjang. Pernah beberapa kali aku menemankan Sahak ke rumah Kak Kiah. Memang aku terpegun melihat kecantikannya. Tak tahulah awet muda apa yang dia amalkan sehingga begitu sekali paras rupanya.
Satu hari aku dikejutkan dengan berita Kak Kiah sakit tenat. Sebagai seorang yang mengenalinya aku berusaha untuk datang menziarahinya.
Namun sebaik sampai di halaman rumahnya tiba-tiba bulu tengkuk ku meremang. Aku dapat rasakan ada sesuatau yang tidak kena. Di dalam rumah kelihatan beberapa penduduk kampung sedang khusyuk membaca yasin. Aku melangkah perlahan-lahan menyertai mereka.
Sebaik sahaja bola mata ku terpandang ke arah sebujur tubuh kaku yang berada di anjung rumah itu aku kaget sambil beristighfar panjang. Keadaan Kak Kiah cukup berbeza dari yang ku lihat sebelum ini. Tubuhnya cengkung dan kurus melidi. Mukanya pula berkedut seribu dan biji matanya seakan terjojol keluar. Rambutnya yang dahulu ikal bersanggul kini sudah putih kekeringan tidak terurus.
Bau busuk memenuhi segenap ruang di rumah tersebut. Aku cuba mengawal rasa mual walaupun aku perasan rata-rata tetamu yang ada di situ kerap kali menutup hidung dan mulut, tidak selesa dengan bau mual yang menerjah ke rongga hidung.
Aku hampiri Kak Kiah yang terbaring di tilam. Allahurabbi…
Jelas kelihatan deretan semut merayap keluar masuk ke rongga hidung dan telinganya. Jika di kampung ku mereka menggelarnya semut mayat. Sesekali dadanya berombak kencang seperti mencari nafas. Apalah dosa Kak Kiah sehingga begitu sekali azab menimpanya.
Ketika anak saudaranya menyuapkan makanan nampak mulutnya ternganga luas. Apa yang aku dengar kata mereka yang makan itu bukannya Kak Kiah, tetapi… Entahlah. Aku tak berani nak teka. Nanti jatuh fitnah pula.
Ketika yasin dibaca nampak raut mukanya yang bengis serta anak matanya meliar ke kiri dan kanan seolah tidak selesa.
Sudah tiga hari berturut-turut orang kampung membaca yasin, namun keadaan Kak Kiah langsung tiada perubahan. Tubuhnya semakin semakin susut sehingga tinggal rangka.
Imam Johari menyuruh kami menemui bekas suaminya kalau-kalau ada hutang atau dosa yang tidak diampunkan lagi. Mungkin itu ikhtiar terakhir buat Kak Kiah sebelum menemui penciptanya.
Aku dan Sahak akhirnya menemui Abang Mamat di kediaman barunya di pekan. Lantas kami menceritakan apa yang berlaku. Abang Mamat hanya diam tanpa sebarang reaksi. Aku sampaikan pesanan Imam Johari kepadanya.
“Padan muka dia. Siapa suruh dia berkawan dengan setan! Sekarang terimalah akibatnya,” katanya sebaik membuka mulut. Aku dan Sahak terlopong. Kami cuba menenangkannya. Setelah nampak reda kemarahannya barulah dia bersuara.
“Itulah, taksub sangat nak cantik. Sanggup pakai susuk. Benda yang ditegah itulah dia nak buat. Kau tahu tak berapa ratus jarum emas ada dalam badan dia tu?” tanyanya pada kami. Aku tergamam sambil menggelengkan kepala.
“Setiap malam jumaat pasti dia berjumpa dengan setan itu. Waktu itulah dia bakar kemenyan, mandi bunga dan buat benda-benda di larang.
“Err… maksud abang, Kak Kiah pakai susuk ke?” tanyaku inginkan kepastian.
“Memang! Kalau nak dibuang aku tak tahulah sampai bila akan habis. Kau bayangkan sejak aku kahwin dengan dia setiap malam Jumaat dia akan masukkan susuk baru. Kurang-kurang pun 10…” kata Abang Mamat merengus kesal.
“Lepas tu banyak pantang larang pula kena ikut bila dah berkawan dengan setan tu. Tak boleh itulah, inilah, sampaikan kenduri kendara doa selamat dan tahlil pun tak boleh pergi. Hah, sekarang tanggunglah.
“Nasib baiklah aku bercerai dengan dia. Kalau tak, tak tahulah apa pula jadi pada aku. Tapi aku dah lama maafkan dia. Apa yang jadi dengan dia sekarang ni itu antara dia dengan Tuhan,” katanya lagi.
Sebelum pulang Abang Mamat memberitahu kami kalau betul-betul tak nak lihat dia tersiksa dan ‘pergi’ dalam keadaan tenang, nanti di rumahnya cabut tujuh keping atap di bumbung dan buka tujuh keping papan di lantai. Mungkin dengan cara itu dapat memutuskan perhubungan Kiah dengan ‘perantara’ yang menumpang ditubuhnya ketika ini.
Sebaik pulang. Aku terus memberitahu dengan Imam Johari. Dengan pertolongan beberapa penduduk kampung akhirnya kami melakukan apa yang diminta. Sebaik selesai mencabut atap dan lantai rumah itu, tiba-tiba berlaku kejadian di luar jangkaan.
Kak Kiah tiba-tiba merengus kuat. Dadanya berombak kencang sehinggakan tubuhnya seperti diinjak-injak di tilam pembaringannya. Wajahnya serta merta mengeluarkan lendir seakan nanah. Baunya cukup busuk sehinggakan ada di antara kami muntah.
Beberapa orang saudara maranya lantas membisikkan dua kali masyahadah di telinganya, namun langsung tiada sebarang tindak balas darinya. Mulutnya yang terlopong luas tanpa bergerak.
Selang beberapa minit barulah dia menghembuskan nafas terakhirnya. Ketika itu jelas kedengaran deruan angin kuat menembusi lubang atap dan lantai yang dicabut sebentar tadi. Kami yang berada di situ berpandangan.
Keesokkannya jenazah Kak Kiah selamat dikebumikan. Walaupun banyak berlaku perkara pelik dan aneh sepanjang menguruskan jenazahnya, namun berjaya juga arwah disemadikan.
Dalam perjalanan pulang dari tanah perkuburan, aku berdoa agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukan arwah semasa hayatnya. Sesungguhnya kejadian yang berlaku ini akan menjadi pengajaran buat kami semua yang menyaksikannya. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya