SAUDARA PENGARANG,
SAYA terpanggil untuk membuat aduan mengenai pengurusan atau operasi institusi kewangan yang beroperasi di seluruh negara termasuk Selangor.
Saya dan seluruh rakyat Malaysia lain mengetahui pandemik Covid-19 masih belum reda menyebabkan semua operasi perniagaan, pentadbiran dan bank tertakluk kepada operasi prosedur standard (SOP).
Namun, SOP yang dilaksanakan terutama di institusi membabitkan perkhidmatan sungguh membebankan.
Contohnya, saya terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk berurusan di kaunter sebuah bank di Kajang, Selangor, baru-baru.
Cuti saya sia-sia apabila dua kali cubaan untuk menyelesaikan urusan di kaunter tidak tercapai kerana barisan terlalu panjang.
Ketika meninjau gelagat pelanggan lain, mereka juga keluh-kesah menunggu giliran masuk ke lobi bank. Ramai mendakwa semua bank seperti itu dan ada yang membuat kenyataan nakal bahawa kakitangan bank gembira melihat pelanggannya bersabar.
Betul, SOP adalah kewajipan namun tidakkah pengurusan bank mencari alternatif agar pelanggan yang sepatutnya disantuni tidak terlalu lama menunggu giliran?
Menunggu pula bukan di tempat yang selesa. Saya sendiri melihat pelanggan yang menunggu di depan bank terkena tempias hujan, ada juga menahan bahang matahari.
Tidak perlulah pihak bank berbangga dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sedangkan pengurusan masa menunggu untuk berurusan di kaunter tidak mampu di selesaikan.
INSAN SAKIT HATI
Selangor