Nahas KRI Nanggala cetus teknologi baharu - Utusan Malaysia

Nahas KRI Nanggala cetus teknologi baharu

KENDERAAN bawah air, Deepsea Challenger yang digunakan James Cameron untuk memasuki Jurang Mariana di Lautan Pasifik pada 2012. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN isu utama tragedi kapal selam milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Nanggala-402 berpunca daripada aset tentera yang usang dan perlu diganti semula, terdapat satu isu lain yang tidak kurang penting.

Ia melibatkan masalah kapal penyelamat kapal selam yang bergerak perlahan dan tidak dapat tiba ke lokasi tragedi dengan pantas.

Nahas itu berlaku pada 21 April dan kapal penyelamat kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti hanya tiba di lokasi kejadian di Laut Bali pada 25 April manakala MV Swift Rescue dari Singapura tiba pada 24 April.

Walaupun MV Mega Bakti lebih moden dengan kelajuan 27.8 kilometer sejam (km/j), ia tiba lebih lewat kerana berlayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

MV Swift Rescue yang bergerak perlahan dengan kelajuan 22 km/j tiba awal sehari kerana bertolak dari pangkalannya di Tanah Merah, Singapura yang lebih dekat dengan Laut Bali.

Kedua-kedua kapal buatan syarikat Singapura mempunyai peralatan dan keupayaan yang hampir sama dengan MV Mega Bakti yang siap dibina pada 2013 boleh disifatkan sebagai ‘adik’ dari segi usia kerana MV Swift Rescue mula beroperasi lebih awal pada 2009.

Aset utama kedua-dua kapal sedikit berbeza dengan MV Mega Bakti memiliki kenderaan bawah air kendalian jarak jauh (ROV) manakala MV Swift Rescue pula mempunyai ROV dan kenderaan bawah air kendalian manusia (HOV), Deep Search and Rescue Six (DSAR 6).

Bagi saya, kita tidak harus berlumba-lumba untuk menjadi jaguh negara mana yang mempunyai aset tercanggih sebaliknya perlu saling bekerjasama di peringkat serantau untuk mewujudkan satu pasukan kapal penyelamat kapal selam yang lebih moden dan pantas.

Malaysia, Singapura dan Vietnam yang berpengalaman mengendalikan kapal penyelamat kapal selam boleh menjadi peneraju bagi memastikan ia menjadi realiti.

Kerjasama yang boleh dibuat adalah bagi mencipta enjin kapal yang lebih berkuasa. Sudah sampai masanya enjin diesel jenis MAN dan Caterpillar yang digunakan kapal terbabit dinaik taraf.

Dalam pada itu, masalah utama ROV dan HOV adalah tidak boleh menyelam terlalu dalam seperti dalam kes tragedi KRI Nanggala-402, serpihan berada pada kedalaman 838 meter di dasar laut.

Untuk mencipta peralatan yang mampu menyelam sehingga dasar laut yang dalam, ia memerlukan bahan baharu iaitu bebola kaca halus yang diikat dengan resin epoksi yang digelar syntactic foam.

Teknologi yang terhasil daripada kajian kenapa ikan dapat hidup di dasar laut dalam menjadi komponen utama HOV yang digunakan pengarah filem, James Cameron untuk meneroka Jurang Mariana, Lautan Pasifik sedalam 10,890 meter pada 2012.

Nama komersial bagi bahan unik seperti span itu ialah isofloat. Ayuh ahli sains dan jurutera Malaysia, buktikan kemampuan anda untuk mencipta ROV, HOV dan mungkin kapal selam baharu buatan tempatan dengan bahan mirip isofloat.

HANG NADIM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya