SAUDARA PENGARANG,
KANAK-kanak bukan hanya perlu diberi kasih sayang serta perhatian, malah perlu menerima pendidikan sewajarnya untuk membentuk peribadi dan kejayaan pada masa akan datang.
Mendidik kanak-kanak memerlukan kesabaran yang tinggi dan belum tentu semua orang boleh menjadi pendidik kepada mereka. Kerenah dan gelagat mereka kadang-kadang boleh menyebabkan seseorang hilang rasa sabar dan menimbulkan kemarahan ibu bapa dan guru.
Namun, tidak wajar jika kerenah dan kenakalan mereka dihukum dengan denda dan perbuatan yang tidak sepatutnya terutama oleh guru yang telah mendapat kepercayaan daripada ibu bapa.
Amanah sebagai guru tadika atau taska perlu dilaksanakan dengan sebaiknya dan bukan semata-mata untuk mendapat gaji pada hujung bulan.
Selain ibu bapa, guru adalah individu yang bertanggungjawab dalam membantu perkembangan kanak-kanak dalam semua aspek. Namun, jika didikan yang diberi disulami dengan rasa marah dan kekerasan akan menyebabkan ia tidak berlaku dengan sempurna. Kanak-kanak akan berasa takut untuk ke sekolah.
Emosi mereka juga akan terganggu seterusnya memberi kesan kepada sosial serta tingkah laku sama ada pasif atau memberontak.
Justeru, pemilihan guru perlu dibuat bukan sahaja berdasarkan latar belakang pendidikan tetapi membuat ujian psikometrik bagi mengukur kualiti guru dan pengasuh.
Melalui cara ini diharap dapat mengurangkan kes penderaan dan sebagainya.
Pemantauan juga perlu dilakukan bukan sahaja bertujuan melihat proses pengajaran dan pembelajaran serta pengasuhan tetapi tindak tanduk guru di dalam kelas.
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) adalah sebagai salah satu langkah membendung perkara ini daripada berlaku.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memilih sekolah yang tidak mempunyai rekod buruk dan memastikan guru-guru adalah terlatih dan mempunyai etika dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap anak anda.
DR. AZIZAH ZAIN
Ketua Jabatan/Pensyarah Kanan
Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak
Universiti Pendidikan Sultan Idris