Lagu raya dan tak dapat balik raya ... - Utusan Malaysia

Lagu raya dan tak dapat balik raya …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERLALU lah sudah Ramadan, sebulan berpuasa…” Tiba-tiba lagu hari raya nyanyian Anuar Zain pada zaman dia masih kanak-kanak lagi itu, menangkap telinga saya. Ia dinyanyikan dengan penuh gembira oleh seorang rakan sekerja lelaki yang mejanya di depan saya.
Saya tergelak, bukan kerana suaranya yang biasa-biasa saja itu tetapi lagu tersebut dinyanyikan olehnya pada Ramadan yang baru masuk hari kedua ketika itu. “Dah kenapa ini, baru dua hari dah sibuk nak raya ni. Mengalahkan budak-budak,” kata saya.
Dia tersenyum lebar. Mungkin malu, sebab tiba-tiba lagu itu terkeluar dari mulutnya.
“Jangan harap dapat balik Kelantan abe, kes Covid-19 terus naik. Kita raya dalam KL saja,” kata saya mengusik. Tetapi saya percaya kawan saya ini jiwanya kental. Berayalah di mana-mana pun. Yang penting, puasa mesti cukup sebulan. Betul?
Ketika ini dalam media sosial, ada yang bising-bising dan memberi tekanan kepada kerajaan agar membenarkan rentas negeri untuk pulang berhari raya. Dapat dua atau tiga hari pun cukuplah. Berhari raya di perantauan, serupa macam tidak beraya, kata mereka.
Kadang-kadang saya agak hairan juga dengan perangai segelintir kita, masa hari raya dan musim buah-buahan lah sibuk hendak balik kampung. Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, hendak tengok muka dia di kampung pun susah. Sibuk memanjang. Macam bekerja di luar negara pula, walhal duduk di KL, kampung di Tanjung Malim saja.
Tetapi bila tiba hari raya, masa itulah ramai mengaku ada kampung. Mahu balik lihat orang tua. Bila balik kampung, leka belek telefon pintar pula. Lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon daripada berbual dengan orang tua.
Ingatkah kita lagi setelah rentas negeri dibenarkan pada tahun lalu, angka Covid-19 naik mendadak? Dan akhirnya banyak negeri terpaksa diisytiharkan Perin­tah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Kesannya ramai kembali duduk di rumah, ada yang dibuang kerja, ada sektor ditutup dan anak-anak mengalami ke­sukaran mengikuti sesi pers­ekolahan secara atas talian.
Ada yang mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran, balik raya secara bersasar. Banyak sangat lah istilah bersasar sekarang ini. Jika diberi kebenaran bersasar pun, akan berbondong-bondonglah yang menuju ke plaza tol seluruh negara dengan macam-macam alasan. Itukah bersasar?
Kita ini berdepan dengan virus tidak kelihatan yang cepat merebak. Covid-19 tidak akan berehat walaupun dua atau tiga hari untuk memberi peluang orang ramai beraya di kampung. Tiada hari kelepasan am untuk Covid-19.
Soalnya, tidak jadikah hari raya jika tidak pulang ke kampung? Tidak sedapkah ketupat, lemang, rendang dan dodol yang dimasak di Kuala Lumpur? Ini bukan khidmat nasihat tidak mengalakkan orang balik ke kampung, tetapi ia lebih kepada memikirkan kemungkinan-kemungkinan betapa kes Covid-19 akan terus meningkat sehingga tidak boleh dikawal jika kerajaan membenarkan rentas negeri ketika kes masih berada di tahap membimbangkan ini.
Tak akan disebabkan ingin bergembira berhari raya di kampung selama dua atau tiga hari, kita semua berisiko menanggung kesusahan berpanjangan apabila kes Covid-19 meningkat lagi. Pada masa itu PKP mungkin terpaksa dilaksanakan semula dan bermula lagilah episod ada syarikat gulung tikar, kehilangan kerja, pelajaran anak-anak di sekolah dan institut pengajian tinggi jadi tak keruan dan yang sibuk mahu beraya di kampung itu juga pasti akan bising-bising lagi menanyakan apa bantuan yang boleh kerajaan beri kerana pendapatan mereka terjejas. Asyik pusing-pusing macam itu juga lah, sampai bila hendak habis ini?
Ketika ini, kita masih boleh pergi kerja, makan angin di dalam negeri, dapat membeli-belah, dapat makan di restoran sehingga malam, boleh pergi bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri buka sampai 2 pagi dan boleh solat di masjid. Kita tidak berkurung pun dan bebas ke sana ke sini seperti biasa. Tak rugi memberikan lagi masa untuk memulihkan negara daripada pandemik ini. Yang ruginya, kalau kita asyik berpusing-pusing dalam lingkungan PKP dan macam-macam kawalan pergerakan. Sampai bila mahu begini? – Ahad dah ke? Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya