SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN disaran memperkenalkan subjek Perlembagaan dan Undang-Undang secara komprehensif dalam sukatan pelajaran bagi membolehkan pelajar mengenali undang-undang tertinggi negara dengan lebih mendalam.
Pada masa sama, rakyat perlu terus menjunjung dan mematuhi prinsip Perlembagaan pada setiap masa demi kemaslahatan sejagat.
Ini kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama negara dan semua undang-undang perlu selaras untuk menjamin keabsahan peruntukan tersebut.
Perlembagaan merupakan asas rujukan bagi rakyat dalam memperoleh dan menjamin hak asasi seperti kebebasan bergerak, bercakap, berhimpun, berpersatuan, beragama dan lain-lain seperti termaktub dalam Bahagian Dua Perlembagaan.
Ini termasuk kuasa pelantikan ketua kerajaan adalah terletak pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepertimana Perkara 40(2)(a).
Perdana Menteri perlu mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sebagaimana dalam Jadual Keenam.
Perdana Menteri hendaklah terus memegang jawatan tersebut sehingga pembubaran Parlimen untuk pilihan raya ataupun telah hilang majoriti di Dewan Rakyat setelah gagal undian majoriti. Jika seseorang Perdana Menteri gagal mendapat majoriti, maka dia hendaklah meletakkan jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen sepertimana Perkara 43(4).
Begitu juga dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang merupakan satu konvensional dan protokol kerajaan. Jawatan ini pertama kali disandang oleh Tun Abdul Razak Hussein pada 31 Ogos 1957.
Pelantikan Timbalan Perdana Menteri tidak dinyatakan dalam Perlembagaan, namun penyandang berperanan penting untuk membantu Perdana Menteri dalam melaksanakan kerja-kerja pentadbiran negara serta memenuhi harapan, janji dan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan suatu proklamasi darurat sepertimana Perkara 150(1) apabila berpuas hati adanya ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.
Tindakan kerajaan mengumumkan darurat dilihat sebagai langkah keprihatinan dan sedaya upaya memerangi pandemik serta membela rakyat dengan pakej bantuan ekonomi.
Begitu juga dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dijamin bawah Perkara 3(1) tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman.
Keharmonian negara telah dijamin dengan peruntukan sebegini dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera.
LIM SAN SHIEN
Mahasiswa Fakulti Undang-Undang
Universiti Malaya
& Ikon Siswa (Kepimpinan) Negeri Johor