Komunikasi literasi kewangan amat penting - Utusan Malaysia

Komunikasi literasi kewangan amat penting

PELBAGAI aspek perlu dilihat sebelum berbelanja bagi memastikan seseorang memiliki simpanan pada waktu kecemasan. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

tatkala negara melalui fasa pemulihan ekonomi secara beransur dengan program vaksin sedang dilaksanakan, pandemik Covid-19 terus mempamerkan hubungan saling bergantung antara sistem kewangan dan sektor lain dalam ekonomi.

Pandemik berterusan ini memberi kesan secara meluas dan negatif dari segi sosial, ekonomi dan kewangan. Ramai yang bertanya, bila kami boleh kembali kepada masa sebelum pandemik?

Namun, hakikatnya, norma baharu seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal akan berterusan walaupun seseorang telah menerima vaksin.

Kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang menjurus ke arah kenaikan kadar pengangguran mengingatkan kita betapa kritikal untuk kerajaan mengambil langkah-langkah lebih proaktif, bukannya reaktif bagi mengurangkan risiko sistemik.

Kewujudan sistem jaringan keselamatan kewangan yang kukuh dan berkesan penting untuk mengurangkan risiko sistemik dan menggalakkan kestabilan sistem kewangan.

Di tahap institusi perbankan dan insurans, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang ditubuhkan pada 2005 sebagai penginsurans deposit nasional melengkapi fungsi Bank Negara Malaysia (BNM) dan memupuk kerjasama erat dalam menjaga kestabilan kewangan negara.

Di tahap awam, PIDM mengutamakan dan melindungi pendeposit dengan memberi insentif kepada institusi ahli (bank dan penginsurans) yang mengamalkan pengurusan kewangan yang mantap.

Bagi memastikan kehidupan lestari rakyat, pelan komunikasi literasi kewangan yang mencapai lapisan rakyat harus dibangunkan oleh semua pihak, baik kerajaan, institusi kewangan, ahli institusi dan rakyat jelata.

Penyampaian mesej ‘bijak menguruskan wang’ harus dipergiatkan semasa majoriti rakyat hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ketika ini sememangnya amat susah untuk berjimat.

Namun, beberapa cara boleh dilakukan sekiranya seseorang mahu seperti:

1. Kesesuaian masa. Keperluan berbelanja adalah lumrah manusia. Jika ingin membeli barangan yang diidamkan, perlulah bertanya sama ada ia merupakan masa yang sesuai atau adakah duit dalam poket atau bank belum mencukupi atau ada kemungkinan boleh menunggu sehingga sebulan dua sebelum membelinya.

2. Simpanan kecemasan. Tabung kecemasan harus diuruskan dengan bijak dengan mengutamakan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup. Umpamanya, untuk membayar bil hospital atau menjaga kesihatan, sewa, makanan dan keperluan anak. Jika dapat menyimpan RM1 sehari, tabung kecemasan akan menjadi RM90 dalam masa tiga bulan.

3. Utamakan perbelanjaan mengikut keperluan. Semasa berbelanja, harus mengutamakan keperluan daripada kemahuan. Bagus sekiranya dapat mengagihkan perbelanjaan mengikut kategori keperluan dan kemahuan dan utamakan perbelajaan yang dianggap penting. Lebihan walaupun RM1 bolehlah ditabungkan.

Oleh itu, semua pihak sama ada institusi mahupun lapisan rakyat mesti bergerak senada demi meningkatkan daya tahan kewangan masing-masing. Daripada berbelanja kerana kemahuan, baik berbelanja kerana keperluan.

IVLYNN YAP
Pengurus Besar
Komunikasi dan Perhubungan Awam,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya