SAUDARA PENGARANG,
SEJAK peralihan kerajaan pada 10 Februari 2020, berlaku pertukaran menteri Kabinet dan portfolio, sekali gus pertukaran setiausaha akhbar menteri (SUA) baharu.
Sebanyak 12 tugas utama perlu dipikul oleh SUA dalam memastikan perjalanan kerja menteri di sesebuah kementerian dapat dilakukan dengan baik. Antaranya mereka perlu memahami teras perkhidmatan, strategi dan budaya kerja di setiap kementerian serta penyampaian perkhidmatan yang berbeza secara pantas dan tuntas.
SUA memahami aspirasi menteri dan jangkaan masyarakat menerusi agenda kementerian melalui pelbagai saluran termasuk media sosial.
Selain itu, mereka akan menjadi pemudah cara bagi menteri dalam aspek perhubungan media, perhubungan awam dan aktiviti pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) menteri berkenaan.
Tuntasnya, mereka proaktif mencari, melengkap dan mengabsahkan maklumat daripada jabatan, agensi dan bahagian yang mementaskan acara di kementerian.
Mereka juga mengarang teks ucapan dan kenyataan media yang tepat dari sudut pandangan pengamal media yang mempunyai nilai berita yang tinggi dan semasa, berimpak rakyat, digarap dengan sempurna kerana rakyat mendambakan sesuatu daripada pengumuman.
Pelan Komunikasi Menteri disedia sebagai panduan menteri menyampaikan maklumat kepada kluster rakyat tertentu melalui media massa sama ada cetak, elektronik, media sosial serta komunikasi visual yang bersesuaian secara terancang dan teratur.
Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara pada era krisis penularan wabak Covid-19, pada 18 Mac 2020 menjadikan jaringan komunikasi melalui Mesyuarat Komunikasi Strategik SUA perlu melaksanakan tindakan segera berkaitan perkara-perkara baharu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Rakyat memerlukan kerajaan mengambil tindakan drastik untuk menyelamatkan kesihatan dan ekonomi negara secara serentak.
Kini keadaan belum reda dan ekonomi negara terjejas dengan dianggarkan lebih 200,000 rakyat hilang pekerjaan dan kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 4.2 peratus tahun ini berbanding 4.1 pertaus pada tahun sebelumnya.
Kini kerajaan giat menjalankan kempen imunisasi vaksin Covid-19. Dalam memastikan negara mencapai sasaran penerima vaksin, SUA bertindak sebagai pemudahcara bersama pengamal media menjalinkan kerjasama strategi dengan pihak berkepentingan demi mengukuhkan imej dan reputasi kementerian.
Mereka perlu memastikan rakyat dan pemegang taruh mendapat maklumat melalui pengantara media yang terurus dan teratur dengan tepat dan sahih. Tugas mereka sememangnya mencabar dan ada kalanya perlu berhadapan tekanan.
SUAKESUMA
Putrajaya