Kawal berat badan melalui rawatan hipnoterapi - Utusan Malaysia

Kawal berat badan melalui rawatan hipnoterapi

Rawatan hipnoterapi semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

OBESITI merupakan masalah kesihatan yang sering dibincangkan sejak 1975 lagi. Menurut data, permasalahan berat badan berlebihan mencapai peringkat pandemik secara global dengan sekurang-kurangnya 1.9 bilion orang dewasa berumur 18 tahun ke atas memiliki berat badan berlebihan dan 650 juta daripadanya adalah obesiti.

Terkini, rawatan hipnoterapi dilakukan dalam keadaan separa sedar dan dalam masa yang singkat bagi tujuan membantu menurunkan berat. Dalam rawatan ini, minda seseorang menjadi lebih reseptif iaitu lebih mudah untuk menerima cadangan baharu yang diberi oleh pengamal hipnoterapi.

Kaedah ini diterima secara meluas dalam dunia perubatan barat bagi membantu beberapa masalah kesihatan seperti membuang tabiat merokok, menggigit kuku, fobia, kemurungan, sukar tidur dan gangguan emosi.

Bagaimanapun, sebagai rawatan alternatif, hipnoterapi bukan bertujuan mengambil alih perubatan moden, sebaliknya melengkapkan kaedah rawatan sedia ada bagi membantu individu tersebut.

Rawatan ini mengambil masa selama 20 hingga 30 minit bagi satu sesi. Sebelum memulakan rawatan, pengamal hipnoterapi akan mengambil sejarah klinikal, matlamat atau impian yang ingin dicapai dan meminta seseorang itu untuk berada dalam keadaan selesa bagi mendapatkan kepercayaan dan merangsang seluruh anggota badan berada dalam keadaan rehat. Mereka juga akan diminta membayangkan keadaan persekitaran yang selesa dan pendengaran ditumpukan kepada suara pengamal hipnoterapi.

Pada masa sama, otot badan akan berada dalam keadaan tenang dan pemikiran berada dalam gelombang positif. Selain itu, mereka boleh kembali ke minda sedar sepenuhnya pada bila-bila masa yang difikirkan perlu jika terdapat sebarang perasaan tidak enak semasa proses rawatan dijalankan.

Bagi mengatasi masalah berlebihan berat badan dan obesiti, pengamal hipnoterapi akan ‘menanamkan’ beberapa cadangan positif semasa sesi hipnoterapi dilakukan seperti membuat gambaran mengenai proses penurunan berat badan selain memberi tips pemakanan sihat yang sesuai dengan masalah dihadapi.

Tindakan ini secara tidak langsung membantu untuk mengubah corak pemakanan menjadi lebih baik sekali gus mengelakkan kenaikan berat badan. Di samping itu, gambaran yang diberikan oleh pengamal hipnoterapi akan membuat individu tersebut untuk lebih bermotivasi dan berusaha menurunkan berat badan.

Pada 2018, satu percubaan terkawal yang meneliti penggunaan hipnoterapi melibatkan 120 peserta di sebuah hospital di Turin, Itali berjaya mengurangkan berat antara lima 12 hingga enam kilogram dalam tempoh setahun.

Kajian melibatkan kakitangan dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menunjukkan kesan yang memberangsangkan, namun terdapat sedikit kekangan dalam kajian yang dilakukan ekoran penularan wabak Covid-19 kerana peserta sukar mendapatkan makanan berkhasiat dan melakukan senaman secara berkala.

NURUL AFIEDIA ROSLIM
Universiti Malaysia Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya