Selepas meletakkan motosikal di tempat parkir. Kami bertiga berjalan menuju ke jeti. Masing-masing kelihatan cukup bersemangat sambil menggalas beg peralatan memancing di bahu. Memang sudah lama kami tidak keluar bersama melontar joran, maklumlah asyik sibuk bekerja.
Bot fiber biru sudah siap terikat kukuh di jeti. Tekong kami yang dipanggil Abang Seli sudah sedia menanti. Bermakna bila-bila masa sahaja kami boleh memulakan perjalanan.
“Boleh ke kita bergerak sekarang?” tanya Zaim sambil memandang ke arah aku dan Jamal.
“Eh, kena tanya tekong kitalah. Aku dah ready ini,” jawabku tertawa kecil sambil menunggu reaksi Abang Seli.
Abang Seli mengangkat ibu jarinya menunjukkan isyarat bagus. Kami melangkah masuk ke bot dengan berhati-hati sambil menyusun beg dan kotak umpan di belakang.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bot yang dikemudi Abang Seli bergerak meninggalkan jeti. Perasaan gembira ketika itu amat sukar digambarkan. Dalam hati masing-masing berharap agar dapat bawa pulang hasil tangkapan yang lumayan.
Perjalanan menuju ke Pulau Tiong mengambil masa lebih kurang 45 minit.
Sesekali aku jeling ke arah rakanku Zaim dan Jamal. Nampak jelas keceriaan pada wajah mereka. Mungkin masing-masing tak sabar melontar tali kail agaknya.
Jam di tangan sudah menunjukkan 7.30 malam. Sudah hampir nak masuk waktu Maghrib.
Cuaca di langit nampak cerah walaupun hari sudah beransur gelap. Beberapa kumpulan burung terbang melintasi kami menuju ke arah pulau berdekatan.
Angin laut bertiup nyaman. Setelah sampai ke tempat yang dituju Abang Seli mematikan enjin botnya. Tanpa berlengah kami bertiga mula memasukkan umpan ke mata kail dan dan melabuhkan joran ke dasar arus.
Hampir setengah jam memancing kami sudah mendapat hasil yang berbaloi. Memang rezeki agak murah malam itu. Gelama, siakap merah, dan ikan tanda sudah berjaya kami naikkan.
Akibat terlalu asyik, kami langsung tidak sedar hari sudah beransur gelap. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah mula bertukar kencang.
Bot yang kami naiki terumbang-ambing dipukul ombak. Kilat mula berselang seli memancarkan cahayanya.
“Eh, jom kita bergerak balik. Aku rasa nak hujan lebat ni. Arus pun dah semakin kuat,” katanya kepada kami.
Kami mengangkat joran masing-masing dan bersedia untuk bertolak balik.
Sebaik enjin bot dihidupkan, tiba-tiba kami terdengar kicauan burung yang kuat. Bunyinya cukup bingit. Kami dongak ke atas untuk memerhati.
Namun ia bukanlah pemandangan biasa. Kami saling berpandangan dengan wajah yang pucat.
Sekali lagi kami pandang ke atas. Memang sah apa yang kami lihat.
Nampak jelas objek seperti sehelai kain putih yang besar terbang melayang bersama-sama kumpulan burung tersebut.
“Jom kita balik. Aku rasa macam ada yang tak kena pula,” kata Abang Seli sambil mengemudi botnya meninggalkan kawasan tersebut.
Kami bertiga diam membatu. Memang ada yang tidak kena di situ.
Bot yang kami naiki meluncur laju membelah arus. Masing-masing diam tanpa sepatah kata. Fikiran masih lagi dihantui kejadian sebentar tadi.
Sebaik sahaja bot menyusuri anak sungai menuju ke arah jeti, tiba-tiba perhatian kami tertumpu ke arah deretan rumah-rumah kayu beratap rumbia di tebing paya bakau berdekatan.
Di halaman rumah tersebut kelihatan penuh dengan limpahan cahaya api dari jamung yang dibakar. Suasananya nampak meriah seakan ada pesta yang akan berlangsung.
Beberapa orang lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak kelihatan sedang sibuk berulang-alik membawa barangan dari jeti kayu berhampiran.
Aku kerut dahi kehairanan. Perasaan pelik mula menguasai diri. Rasanya semasa bertolak tadi tidak perasan pula adanya kampung di tebing sungai tersebut. Yang kelihatan hanyalah deretan rimbunan pokok-pokok bakau sahaja.
“Kampung ini buat kenduri apa pula ni,” tegur Zaim sebelum sempat aku memberi isyarat supaya dia menutup mulut.
Ketika itulah beberapa orang lelaki dan wanita yang berada di tebing muara tersebut menoleh serentak ke arah kami.
Serta merta kami kaget. Tubuh yang tadinya segar bugar tiba-tiba rasa seperti hendak pitam. Kami gosok mata beberapa kali untuk pastikan apa yang dilihat itu bukannya mimpi.
Memang benar. Wajah mereka yang berada di situ cukup menyeramkan. Hanya kelihatan sepasang bebola mata sahaja tanpa ada hidung, mulut mahupun telinga.
Kami berasa seperti hendak pengsan. Rasanya ingin sahaja kami menjerit minta tolong, namun mulut seakan terkunci rapat.
Zaim melompat ke belakang seperti diserang histeria. Bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan ke kanan kerana masing-masing sudah menjadi tidak keruan.
“Allahuakbar… Allahuakbar…” Abang Seli mengalunkan azan dengan sekuatnya. Jelas kelihatan tangannya menggigil memegang kemudi.
Beberapa orang lelaki yang berada di tebing nampak tidak berganjak dan memandang kami dengan renungan yang cukup tajam.
Dengan sekuat tenaga Abang Seli memecut botnya. Kocakan arusnya memukul tebing. Walaupun diterjah perasaan takut, namun dia berjaya mengemudi bot dengan tenang sehingga sampai ke jeti.
Kami sampai di jeti dalam keadaan selamat. Masing-masing sudah tidak mampu berkata apa selain membawa keperluan dan hasil tangkapan naik ke daratan. Peristiwa yang berlaku tadi cukup menghantui.
“Jom kita minum di warung Pak Deris sambil tenang-tenangkan diri,” kata Abang Seli meredakan keadaan.
Dia tahu kami masih diselubungi rasa takut dengan kejadian yang berlaku itu.
Sebaik sahaja membuat pesanan Abang Seli terus membuka ceritanya.
Katanya, sudah banyak kali dia dengar cerita-cerita aneh dari pemancing-pemancing yang melalui muara tersebut kononnya di situ ada perkampungan makhluk lain seperti apa yang mereka saksikan sebentar tadi.
Ada yang ternampak kampung, ada yang ternampak objek menakutkan, namun dia tak pernah ambil peduli kerana tidak pernah alami kejadian tersebut di depan matanya sendiri walaupun kerap membawa ramai kaki pancing memancing lewat malam di sekitar itu.
“Sebelum ini aku hanya dengar cerita orang sahaja. Nampaknya hari ini aku dah alami sendiri. Lepas ni taubatlah aku takkan bawa orang memancing lewat malam lagi,” katanya sambil memandang ke arah kami.
Aku dan rakan-rakan hanya mengangguk tanpa sepatah kata. Dalam hati kami juga simpan perasaan yang sama.
Selepas ini tak mungkin lagi kami akan memancing di waktu malam, tambah pula menaiki bot ke tengah laut.
Kejadian tadi cukup meninggalkan kesan mendalam. Rasanya jika diingatkan semula pasti susah untuk lelapkan mata. – Mingguan Malaysia
Kampung misteri tepi kuala
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 11 April 2021, 12:00 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Setiap individu bertanggungjawab lindungi diri, keluarga apabila banjir
30 November 2024, 8:00 am
Sedia korban kepentingan diri untuk manfaat awam
30 November 2024, 8:00 am
Membangun dan memanfaatkan tanah wakaf
29 November 2024, 8:00 am