Jangan perlekeh staf bukan akademik - Utusan Malaysia

Jangan perlekeh staf bukan akademik

Universiti Teknologi Malaysia telah memulakan langkah melantik beberapa staf bukan akademik menjadi pengarah dan timbalan pengarah bahagian atau unit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAKAT seseorang boleh dirujuk sebagai insan yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan bagi sesebuah organisasi.

Dalam konteks pendidikan tinggi, bakat staf akademik dan kakitangan bukan akademik adalah penting dalam membawa kejayaan bermakna kepada universiti.

Staf akademik khususnya di universiti penyelidikan majoritinya mempunyai kelulusan akademik tertinggi iaitu ijazah doktor falsafah (PhD)yang melayakkan mereka melaksanakan penyelidikan bagi menemukan atau mencipta ilmu baharu dalam sesuatu bidang pengkhususan.

Bagi staf bukan akademik pula, mereka terdiri daripada pelbagai kategori, iaitu pegawai berkelulusan ijazah sarjana muda (sekurang-kurangnya) dan kakitangan sokongan atau pelaksana.

Lazimnya, sesebuah universiti mempunyai bilangan staf bukan akademik melebihi kakitangan akademik. Ini munasabah kerana universiti memerlukan staf yang mencukupi untuk tujuan urus tadbir.

Selama ini, banyak universiti di Malaysia mengamalkan pelantikan ahli akademik untuk mengetuai sesebuah entiti dalam universiti, seperti pengarah bahagian atau pengarah unit.

Bergerak ke hadapan, proses rasionalisasi pelantikan ahli akademik wajar dibuat kerana sebahagian jawatan pentadbiran dalam universiti sebenarnya boleh diserahkan kepada staf bukan akademik.

Rasional yang ada ialah ahli akademik harus memberi lebih tumpuan kepada aspek kerja hakiki atau 7P iaitu pengajaran, penyelidikan, penulisan, perundingan dan pengkomersialan, perkhidmatan kepada negara, penyeliaan serta perkhidmatan profesional (seperti membuat polisi negara dan keanggotaan badan profesional).

Dengan rasionalisasi amalan pelantikan ahli akademik, lebih ramai staf bukan akademik boleh diberikan peluang dan ruang menjadi pengarah atau timbalan pengarah bahagian, unit atau entiti dalam universiti.

Untuk melaksanakan transformasi sebegini, proses merekrut staf bukan akademik yang berkebolehan harus dijalankan. Pada masa ini, semakin bertambah bilangan kakitangan bukan akademik yang memiliki ijazah sarjana dan PhD.

Universiti tidak harus memandang rendah keupayaan staf bukan akademik kerana mereka mungkin selama ini kurang diberi ruang dan peluang untuk beraksi membuktikan kemampuan sebenar mereka dalam urus tadbir universiti.

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memulakan langkah rasionalisasi pelantikan ahli akademik dengan melantik beberapa staf bukan akademik menjadi pengarah dan timbalan pengarah bahagian atau unit.

Sebagai contoh, jawatan Pengarah Kerja UTM kini disandang seorang staf bukan akademik, yang sebelumnya jawatan ini dipegang oleh ahli akademik.

Lebih ramai juga staf bukan akademik dilantik ke jawatan peringkat timbalan pengarah bahagian atau unit bagi merealisasikan hasrat transformasi bakat.

Amalan biasa pelantikan ahli akademik sebagai pentadbir wajar diteliti semula kerana dibimbangi mereka lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran berbanding tugas hakiki yang biasanya disebut sebagai 7P.

Jika ini berlaku, universiti mengalami kerugian bakat kerana sepatutnya staf akademik menumpukan kepada skop kerja 7P. Dengan rasionalisasi pelantikan sebegini, universiti boleh memaksimumkan bakat staf akademik dan kakitangan bukan akademik pada tahap terbaik.

PROFESOR DATUK DR. AHMAD FAUZI ISMAIL & DR. MUHAMMAD ABD. HADI BUNYAMIN
UTM, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya