Jagalah adab di alam maya - Utusan Malaysia

Jagalah adab di alam maya

BUDI bahasa perlu kekal dijaga walaupun pelbagai aktiviti secara maya menjadi amalan norma baharu sejak penularan pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

IMPAK dunia tanpa sempadan dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 menyaksikan penggunaan teknologi mengambil alih peranan manusia secara konvensional dalam kehidupan harian.

Situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih belum surut menyebabkan penggunaan gajet bukanlah sesuatu yang asing malah dilihat sebagai keperluan mesti dimiliki oleh semua termasuk pelajar sekolah.

Amalan norma baharu ini meliputi semua peringkat termasuk pekerja, peniaga, akademik, pembelian secara dalam talian dan tanpa tunai yang bertujuan mengurangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19.

Hari ini kita bebas berinteraksi secara maya dengan sesiapa sahaja yang tidak dikenali. Malah dengan aplikasi teknologi seperti Grab, kita sendiri memanggil orang yang tidak dikenali untuk menghantar ke sesuatu lokasi.

Komunikasi secara maya menyebabkan masyarakat lebih terbuka menyuarakan pendapat. Jika rajin mengikuti ruangan komen di Facebook, Instagram dan Twitter, pelbagai ragam pendapat dapat dilihat sama ada berbentuk positif atau sebaliknya tanpa mengira usia, pangkat mahu pun latar belakang.

Keterlaluan dalam berkomunikasi di alam maya boleh mengundang kepada berlakunya jenayah. Perkenalan jangka pendek, penipuan wang, perjudian dan sebagainya boleh berlaku kerana saling tidak mengenali antara satu sama lain. Realistiknya komunikasi secara maya seperti membuka ruang kepada masalah atau jenayah sosial jika platform ini tidak digunakan dengan berhemah.

Namun, perkara ini boleh diatasi jika masyarakat mampu mengekalkan nilai beradab sopan semasa berinteraksi. Tidak salah memberi pendapat tetapi biarlah dengan bahasa yang baik. Tidak salah jika tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat tetapi nyatakan dengan penuh hikmah dan santun. Berfikir sebelum menaip merupakan prinsip utama yang perlu diingat. Jika tidak ada keperluan untuk memberi sebarang komen, sebaiknya biarkan sahaja isu itu berbicara sendiri.

Sebagai masyarakat yang matang, berfikir dahulu sebelum berbicara adalah lebih baik daripada menjadi individu pertama yang berkongsi maklumat tanpa meneliti kebenarannya.

Hidup bermasyarakat dalam dunia berorientasi teknologi dan kemodenan bukan penghalang untuk mengekalkan nilai adab sopan yang sudah didedahkan di peringkat awal persekolahan. Malah, pengenalan dan penerapan nilai murni ini merupakan pendidikan asas yang diajar oleh ibu bapa kepada anak-anak di rumah.

Slogan Budi Bahasa Budaya Kita juga sudah lama diperkenalkan agar menjadi pegangan dalam kehidupan bermasyarakat. Bukan hanya kita sebagai individu, malah amalan berbudi bahasa juga merupakan idaman barisan pemimpin negara yang didiami oleh masyarakat berbilang bangsa.

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya