SAUDARA PENGARANG,
ISU keselamatan makanan menjadi topik hangat sejak dahulu.
Mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), keselamatan makanan merujuk kepada sesuatu keadaan di mana semua orang pada setiap masa mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada bekalan makanan.
Makanan terbabit hendaklah mencukupi, selamat, berkhasiat, memenuhi keperluan pemakanan individu dan untuk kehidupan yang aktif dan sihat.
Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka, ia terdedah kepada kesan di peringkat antarabangsa termasuk akibat pandemik Covid-19 apabila berlaku gangguan kepada rantaian bekalan makanan global.
Statistik pada 2019 menunjukkan kadar kemandirian Malaysia bagi beberapa item makanan masih rendah – daging kambing (12.1 peratus), halia (16.2 peratus), daging lembu (23.7 peratus), cili (30.8 peratus), mangga (32.1 peratus), kubis bulat (36.2 peratus) dan beras (69 peratus).
Sudah tentu ada beberapa item makanan yang tidak sesuai untuk ditanam di Malaysia kerana faktor iklim tetapi kita masih boleh memberi tumpuan kepada item yang sesuai dengan cuaca negara ini.
Satu lagi isu yang timbul dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan adalah kekurangan minat dalam kalangan belia untuk menyertai sektor berkaitan keselamatan makanan seperti pertanian dan perikanan kerana pendapatan tidak cukup tinggi.
Secara umumnya, kita dapat lihat belia lebih suka bekerja dalam bidang pekerjaan kolar biru (perkilangan) dan kolar putih (pentadbiran dan pengurusan).
Menurut Institut Kajian Khazanah, sektor pertanian dan perhutanan merupakan salah satu bidang yang paling kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar sekolah.
Bagi pelajar peringkat pendidikan tinggi, kajian itu menunjukkan minat mereka kurang untuk bekerja dalam sektor pertanian dan perhutanan.
Satu cara untuk menangani isu keselamatan makanan adalah dengan mempromosikan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian kepada golongan muda memandangkan 28 peratus daripada penduduk Malaysia yang bekerja dalam sektor tersebut rata-rata berusia 50 tahun.
Pertama, ia hendaklah bermula daripada asas iaitu pendidikan seawal peringkat sekolah rendah dengan mendedahkan faedah diperoleh daripada sektor ini.
Pengetahuan mengenai perniagaan pertanian juga harus didedahkan kepada anak muda dengan menceritakan kejayaan petani muda sebagai sumber inspirasi.
Kedua, gaji dan upah perlu ditingkatkan kerana statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 menunjukkan gaji bulanan purata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan adalah paling rendah iaitu sebanyak RM1,997.
Ketiga, jadikan sektor pertanian lebih ‘seksi’ di mata anak muda dengan memperkenalkan teknologi-teknologi baharu seperti sensor lapangan dan dron yang dapat menarik perhatian mereka.
Teknologi terbabit membolehkan hasil pertanian yang diperoleh lebih tinggi dan cepat sekali gus dapat meningkatkan pendapatan.
SOFEA AZAHAR
Penganalisis penyelidik di EMIR Research