SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN ada hikmahnya setelah Singapura tidak lagi terlibat dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Walaupun diakui projek HSR tanpa Jurong East di republik itu sebagai destinasi akhir dijangka mengurangkan jumlah penumpang, namun kita boleh merancang semula untuk membangunkan projek kereta api laju domestik atau HSR 2.0 menghubungkan Bandar Malaysia dan Iskandar Puteri, Johor mengikut keperluan sendiri.
Kos projek HSR dapat dijimatkan sebanyak 30 peratus jika tidak menggunakan khidmat syarikat pemilik aset (AssetCo) seperti yang dituntut Singapura.
Malaysia juga bebas untuk mengintegrasikan stesen HSR dengan penyedia perkhidmatan tren sedia ada seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Express Rail Link (ERL) dan membina sebuah stesen penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang tanpa perlu meminta persetujuan Singapura.
Tambahan lagi, semasa projek HSR digantung selepas perubahan kerajaan pada 2018, MyHSR Corp telah mencadangkan pengurangan kos dengan mengubah jajaran dari Batu Pahat ke Ayer Hitam, Johor dan menggunakan reka bentuk stesen yang lebih praktikal berbanding ikonik.
Satu kerugian jika segala penjimatan yang dicadangkan tidak direalisasikan sedangkan projek sebesar itu diyakini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi serta menjana peluang perniagaan.
Ia juga dapat menawarkan peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi buat rakyat.
PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM
Kuala Lumpur