SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin merujuk pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) baru-baru ini berhubung pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18) hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 berbanding jadual asal pada tahun ini.
Keputusan tersebut amat bercanggah sekali dengan sebab atau asas utama Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membenarkan rakyat berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Saya ingin menekankan di sini, rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun kini mempunyai hak untuk mengundi yang mana telah pun disokong dan disahkan oleh badan perundangan negara kita.
Atas dasar itu, saya berpendapat, apa yang diputuskan oleh suruhanjaya itu boleh dicabar di mahkamah.
Dalam pada itu, SPR wajib memberi penjelasan sama ada keputusan tersebut dibuat selepas rundingan dengan Kabinet dan sekiranya ya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menjelaskan perkara ini kepada seluruh rakyat, lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak dakwaan terhadap kepercayaan yang dimiliki oleh beliau di Parlimen.
Sekiranya SPR dan Perdana Menteri tidak memberikan penjelasan, keputusan tersebut seolah-olah dibuat bagi mengelakkan bakal pengundi yang berumur 18 tahun daripada menjalankan hak mengundi mereka.
Saya menggesa SPR menarik balik keputusan berkenaan dan sekiranya enggan berbuat demikian, suruhanjaya itu perlu bersedia untuk diheret ke mahkamah.
MUHAMMAD NUR AIZAT NOOR AZAM
Peguam yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO