RASANYA sudah banyak kali isu graduan menganggur dibangkitkan di negara ini. Sejak dulu lagi, sudah biasa sangat. Asyik-asyik itulah, pusing-pusing dekat situ juga.
Yang selalu disalahkan graduan juga. Walaupun pada mulanya isu itu berkisar tentang kurangnya peluang pekerjaan dan kursus yang tidak relevan dengan kehendak pasaran, akhirnya sikap graduan juga yang dikecam.
Samalah seperti baru-baru ini apabila akhbar ini memuatkan isu punca graduan menganggur adalah kerana kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam dan swasta tidak sesuai dengan tuntutan semasa. Ada pihak yang tidak bersetuju dan menyalahkan graduan yang tidak berkualiti dan tidak bijak semasa temu duga, selain memilih kerja.
Saya rasa cakap-cakap graduan memilih kerja sudah sepatutnya dipadamkan. Berpijaklah di bumi nyata. Jenguk-jenguklah di mana graduan ini bekerja sekarang. Jangan main cakap saja.
Sebabnya, pergilah di mana-mana pusat beli-belah, restoran atau perkhidmatan e-hailing sendiri, ramai graduan bekerja di sana.
Ada ijazah dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perakaunan dan banyak lagi. Ia bukan sahaja dikaitkan dengan sains sosial, sastera, sains tulen dan pengajian Islam yang bersifat tunggal dan umum.
Saya sendiri pernah berbual dengan seorang anak muda, bekerja sebagai barista di restoran kopi premium di Subang Jaya. Dia lulusan kejuruteraan. Tetapi menurutnya, disebabkan peluang pekerjaan terhad dalam bidang itu dan kena berebut-rebut dengan graduan lain, dia beralih bekerja sebagai pembuat kopi saja.
“Mana ada pilih kerja. Apa ada kerja kita `rembat’ saja kak. Sekarang mana boleh pilih kerja. Kerja pun tak ada, macam mana mahu pilih?” kata anak muda itu.
Saya juga pernah beberapa kali naik Grab yang dipandu oleh graduan lulusan universiti tempatan. Masih saya ingat lagi seorang anak muda lulusan universiti swasta memberitahu saya, dia baru saja dibuang kerja oleh majikan syarikat menjual ais krim. Katanya, dia dibuang kerana syarikat itu mengecilkan operasi kerana pandemik Covid-19.
“Tempat kerja akak ada kerja kosong tak? Kerja biasa-biasa pun tak apa,” kata budak lulusan pengurusan hotel itu.
Menurutnya, dia tidak kisah bekerja dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kursus yang diambilnya. Katanya, jika terlalu memilih, sampai bila pun dia tidak bekerja.
Sebenarnya, kalau kita perhatikan, ramai saja yang beralih ke bidang lain dalam pekerjaan, tidak sama bidang dengan kursus yang dipelajari. Hakikatnya, menimba pengalaman dari bawah adalah proses pembelajaran yang baik. Tetapi itulah, majikan sekarang, mengutamakan pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun.
“Kalau tak diberi peluang kepada graduan, mana nak dapat dua tahun pengalaman itu?” tanya pemandu Grab itu.
Menurut Statistik Tenaga Buruh, kadar pengangguran Malaysia menurun sedikit kepada 4.8 peratus pada Februari 2021 berbanding 4.9 peratus pada Januari.
Statistik bagi Februari 2021 itu menunjukkan jumlah penganggur susut sebanyak 5,000 orang atau 0.6 peratus kepada 777,500 orang daripada 782,500 orang pada Januari.
Sebelum ini, statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan seramai 99,969 orang hilang pekerjaan dari Januari sehingga 22 November lalu.
Memang dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sukar dikawal, memilih kerja atau sengaja bertukar-tukar kerja bukan tindakan bijak. Ini kerana jangka hayat bekerja dalam sesebuah syarikat itu, tidak dapat dijangkakan.
Dan menambah lagi kekalutan, bila ada yang ‘main kabel’ atau guna ‘orang dalam’. Tak berkelayakan, tapi dapat pekerjaan. Yang ini pun boleh jadi punca ramai graduan menganggur. – Mingguan Malaysia
Graduan ‘rembat’ apa saja kerja
- Oleh Fauziah Md Arof
- 11 April 2021, 12:48 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa
7 Ogos 2022, 7:53 am
‘Rembat’ sajalah kerja yang ada
24 Julai 2022, 7:09 am
Buka cerita rumah tangga di media sosial – Tepuk air di dulang, kena muka sendiri
10 Julai 2022, 11:37 am