Golongan ‘kayangan’ dan dua dos vaksin - Utusan Malaysia

Golongan ‘kayangan’ dan dua dos vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA pagi Khamis lalu, saya menerima mesej di aplikasi WhatsApp. Mesej itu seperti kenyataan akhbar. Tajuknya: Kebenaran Merentas Negeri. Sebenarnya saya tidak teruja pun untuk membaca isi kandungannya. Pada pandangan saya, belum masanya lagi merentas negeri dibenarkan. Kes Covid-19 masih tinggi di negara ini.
Tapi saya buka juga mesej itu, sekadar ingin tahu. Rupa-rupanya ia hanyalah gurauan. Tiada apa-apa makluman. Hanya ada gambar seekor monyet comel yang ditulis di situ April Fool! Saya gelak sendiri. Ini kalau hantar pada kawan-kawan, tentu seronok, fikir saya. Kenapa hendak serius sangat, ya tak?
Saya pun menyebarkan pada kawan-kawan terdekat. Banyak reaksi yang saya dapat. Ramai yang marah-marah. Katanya, isu rentas negeri sangat sensitif ketika ini. Boleh jadi gaduh.
“Hang orang KL, tak ada kampung, bolehlah buat main,” katanya. Seorang lagi membalas – “ Nasib baik kau yang hantar, kalau tidak boleh putus sahabat!”
Dan seorang lagi membalas – “Rentas negeri hanya untuk orang kayangan! Kita rakyat marhain duduk diam-diam. Tunggu vaksin dos kedua ya. Yang pertama pun entah bila tahun hendak cucuk,” katanya.
Sebenarnya, ramai yang ternanti-nanti perkhabaran gembira, bilalah rentas negeri akan dibenarkan. Sudah tentu, yang ada ibu bapa di kampung, tidak sabar untuk menemui orang tua mereka. Ibu bapa yang anak-anaknya semua merantau pula, pasti ternanti-nanti bilalah anak mereka akan pulang. Yang sedang sakit, tentu cepat kebahnya bila melihat anak-anak ada di depan mata.
Tetapi inilah pengorbanannya. Pengorbanan rakyat untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Rentas negeri terpaksa dilaksanakan semula bila angka Covid-19 naik mendadak. Sudah tentu kita tidak mahu pisang berbuah banyak kali.
Sebelum ini, selepas rentas negeri dibenarkan, macam-macam kluster timbul. Kebenaran itu, membuatkan ramai yang bukan saja pulang ke kampung, tetapi mengambil peluang makan angin. Membawa keluarga keluar melancong. Tiap-tiap minggu lebuh raya sesak dan hotel-hotel besar dan kecil semuanya penuh!
Tentunya, dalam menghadapi situasi tidak boleh bertemu dengan orang tua, terutamanya ketika berhari raya yang mana tahun lepas Aidilfitri tidak dibenarkan rentas negeri, ia memberi rasa kesayuan yang bukan sedikit.
Ia tidak sama dengan menelefon atau video call bertanya khabar. Ramai yang orang tuanya, sakit-sakit ketika ini. Tentunya berada meluangkan masa selalu ketika mereka sakit, adalah rahmat yang paling besar pada kebanyakan kita.
Memang, orang ramai boleh merentas negeri dengan kebenaran polis untuk melihat ibu bapa yang uzur, tetapi `letihlah’ asyik berulang alik ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran itu.
Tetapi itulah, dalam ada yang ikut peraturan, berkorban berbulan-bulan tidak berjumpa keluarga, ada pula yang diberikan ‘laluan hijau’ boleh merentas negeri dengan sebab-sebab yang tidak penting.
Tahu-tahu ada pula yang memuatnaik aktiviti mengunjungi saudara mara, kawan-kawan dan makan di sana sini dalam laman sosial. Tentunya yang melihat gambar itu tertanya-tanya alasan bertugas apa ini? Tak nampak seperti ada kecemasan pun.
Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya tidak memilih bulu. Selebriti dan pemimpin politik, seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat agar menghormati dan mematuhi undang-undang.
Kita rakyat biasa ini pun, baru hendak tarik nafas sekejap, buka pelitup muka pun sudah kena saman, apa lagi kalau ditahan rentas negeri tanpa kebenaran.
Dan kita juga berharap tiada ‘laluan hijau’ pada pihak yang dipanggil golongan kayangan ini dalam mendapatkan vaksin pula. Iyalah, jangan nanti yang pertama pun belum dapat, golongan kayangan sudah dua dos. Apa cerita? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya