SAUDARA PENGARANG,
GAYA potongan rambut nipis di belakang hingga bawah serta tebal pada sisi atau lebih dikenali mid fade kini menjadi pilihan pelajar sekolah menengah lelaki.
Gaya ini mendapat sambutan kerana selesa dan kemas sehingga menjadi ikutan pelajar sekolah rendah.
Persoalannya, sejauh mana garis panduan gaya potongan rambut yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan diikuti dan dipatuhi? Adakah kementerian membenarkan gaya rambut seperti ini?
Perlu diketahui, pematuhan disiplin murid termasuk rupa paras dan tingkah laku termaktub dalam peraturan disiplin sekolah. Kita tidak mahu sekolah menjadi medan murid memperagakan pelbagai fesyen terutama rambut. Jika berlaku, pastilah institusi pendidikan yang menjadi tempat membentuk manusia dari segi rohani dan jasmani tercemar.
Sementelah pula, masalah pelanggaran disiplin seperti merokok, ponteng, melawan guru dan pelbagai lagi sehingga kini masih tidak ditangani sepenuhnya.
Diharap Kementerian Pendidikan dapat membuat keputusan yang tuntas dan segera mengenai fesyen rambut sebelum budaya Barat ini meresap dan meracuni pelajar.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang