SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA isu melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan ketidakadilan sepanjang beberapa dekad pemerintahan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO menjadikan parti keramat orang Melayu itu ditolak rakyat.
Justeru, bagi mengembalikan semula sokongan orang Melayu terhadap UMNO, parti tersebut harus melakukan orientasi politik baharu dan perlu berjiwa besar untuk melakukan perubahan secara holistik.
Kepimpinan UMNO perlu mengikis jiwa penaung yang terlalu hegemonik (dominasi terhadap pihak lain) sehingga langsung tidak boleh menerima teguran daripada akar umbi yang sering dilabelkan sebagai pendukung kuasa luar, antisistem dan tidak patriotik.
UMNO tidak harus berterusan menggunakan sejarah lampau sebagai satu-satunya modal untuk menarik sokongan orang Melayu.
Selain itu, penguasaan sebahagian besar veteran politik dalam UMNO turut menyebabkan parti itu terus berada di takuk lama.
Dalam pada itu, tindakan beberapa pemimpin UMNO mengarahkan ahli Parlimen parti tersebut meninggalkan Kabinet juga satu tindakan tidak wajar.
UMNO harus mengikis budaya politik lama dan jangan terlalu bernostalgia dengan sejarah pencapaian lalu. UMNO harus berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah sebagai perkara utama selain kuasa.
DR. ILYAS ABDULLAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Raub