SAUDARA PENGARANG,
SAYA berharap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kenderaan tersadai di tempat letak kereta berbayar di hadapan Gerai Makan Seksyen 8.
Terdapat kira-kira enam kenderaan yang berada dalam kategori total loss (kereta lupus) tersadai yang telah mengisi petak kosong di situ.
Keadaan itu menyebabkan masalah kekurangan petak kereta kosong yang sedia ada kronik menjadi semakin teruk dan telah sampai ke tahap nazak.
Tempat letak kereta berbayar itu adalah alternatif setelah ramai tidak dapat lagi meletakkan kenderaan di bawah jambatan berhampiran Hotel Hilton Petaling Jaya yang sentiasa penuh setelah kerajaan memansuhkan kebenaran bekerja dari rumah (BDR) sejak 1 April lalu.
Bayangkan menjelang pukul 8.45 pagi, semua petak kosong di bawah jambatan telah penuh. Jika ke tempat letak kereta berbayar di depan Gerai Makan Seksyen 8, ada pula petak yang sentiasa penuh kerana ‘dihuni’ kereta lupus.
Saya amat berharap MBPJ dapat menunda kereta usang terbabit keluar dan diletakkan di tempat lain yang tidak menyakitkan mata pengunjung gerai makan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang terletak berhampiran.
Satu lagi masalah di situ adalah terlalu banyak lopak agak dalam yang menunjukkan tempat letak kereta berbayar itu sudah lama tidak diselenggara.
Sudahlah terpaksa berebut petak letak kereta pada awal pagi, pemandu pula terpaksa menggunakan segala kemahiran yang ada untuk mengelak lubang seolah-olah memandu di laluan balak.
AZMIN SAMAD
Petaling Jaya