KELAKAR pula dengar cerita seorang penumpang ini. Kalau orang lain tak suka berbalah dengan ahli keluarga, dia pula lain ceritanya.
Penumpang lelaki yang muncul namanya dalam aplikasi sebagai Man ini, bercerita dengan gembira yang dia rindu suasana riuh rendah dan pertikaman lidah antara ahli keluarga ketika menjelang raya.
Kata Man yang saya ambil di Cyberjaya ini, keluarga dia yang berasal dari Johor boleh dikategorikan sebagai unik.
“Kami ini ada ideologi politik yang berbeza. Adik beradik saya empat orang, semua sudah kahwin dan ada keluarga sendiri.
“Bila hari raya kami berkumpul, masa inilah kami bersembang berdebat mengenai ideologi politik masing-masing.
“Lebih-lebih lagi mak saya penyokong tegar UMNO, ayah saya Pas dan kami adik beradik pula berbeza fahaman.
“Maka, bayangkan seronoknya berdebat dan gelak ketawa sambil perli memerli. Bukan bergaduh pun tapi mempertahankan hujah masing-masing,” kata Man.
Namun dek kerana pandemik Covid-19, kerinduan untuk menyambut raya sambil berdebat, terpaksa dilupakan.
Kata Man, mereka adik beradik sebenarnya amat rapat antara satu sama lain.
“Kami ini bukan bergaduh pun, cuma seronok mempertahankan pendirian masing-masing. Tengok pula mak dan ayah kami pun sama berhujah, jadi riuh rendahlah satu rumah.
“Apa pun, semua itu tak membuatkan kami bermasam muka, apatah lagi cabut lari keluar rumah.
“Semua kami ni tahan telinga . Kalau tak nak kalah, melawanlah,” kata Man. Paling seronok, perdebatan itu biasanya akan berlangsung selama mereka berada di kampung.
“Bayangkan kalau cuti seminggu. Seminggu itu jugalah kami bercakap pasal politik. Pasangan kami sudah lali dan tak kuasa melayan.
“Cuma bila hendak balik ke Kuala Lumpur, masing-masing berpelukan dan minta maaf. Itu didikan mak ayah kami yang kami pegang sampai sekarang agar tidak bergaduh adik-beradik,” kata Man, tiba-tiba sebak.
Dalam nada hiba, Man cukup berharap raya tahun ini mereka kembali berkumpul di Johor.
“Lagipun politik Malaysia sekarang, cukup seronok hendak dibincangkan. Mahu kami berdebat sampai tak tidur malam,” katanya tergelak.
Saya yang mendengarnya tercengang sekejap. Aik, tadi sedih, ini gelak pula! Apa-apalah encik oiii… – Mingguan Malaysia
Dia cerita politik pula …
- Oleh Shikin Hassan
- 4 April 2021, 11:32 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Sukar pecat Israel sebagai anggota PBB
14 November 2024, 8:00 am
Pelanggaran tatakelola tender perlu tindakan pembetulan
14 November 2024, 8:00 am
Adakah kita bersedia dengan ideologi epistomologi Tawhidiq?
14 November 2024, 8:00 am