SAUDARA PENGARANG,
HAK mengundi penting bagi melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta menjamin kemajuan negara, selain memastikan pemimpin yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik.
Sekiranya hak mengundi ini tidak diberikan kepada orang ramai, sukar untuk sesebuah negara itu membangun dan menjadi maju.
Hak mengundi ini juga telah menjadi sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia yang perlu dihormati dan dilindungi. Perkara ini jelas termaktub di bawah beberapa konvensyen dan deklarasi antarabangsa seperti Perisytiharan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR), Konvensyen Perlindungan Terhadap Hak Asasi Manusia di Eropah 1950 (ECHR), Piagam Negara-Negara Amerika 1948 (OAS), Piagam Terhadap Hak Asasi Manusia di Afrika atau lebih dikenali sebagai Piagam Banjul, dan beberapa dokumen antarabangsa mengenai hak asasi manusia.
Di Malaysia, isu ini mula mendapat tempat apabila apabila sebilangan orang muda dinafikan hak untuk mengundi. Menurut Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi dalam negara, seseorang warganegara hanya layak untuk mengundi apabila mencapai usia 21 tahun. Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa “Kelayakan pemilih (1) Tiap-tiap warganegara yang (a) telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan…berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri”.
Penetapan had usia mengundi bermula pada usia 21 tahun ini mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pihak khususnya golongan muda sedangkan pada usia itu mereka dianggap sebagai dewasa yang mampu memikul pelbagai tanggungjawab serta menentukan masa depan negara.
Apabila Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia telah membawa perubahan besar terhadap perkara ini. Kerajaan ketika itu mengambil usaha dengan membawa sebuah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) atau lebih dikenali sebagai RUU Undi 18 bagi menurunkan had usia mengundi dari 21 ke 18 tahun yang kemudiannya diluluskan.
Pada 2019, Malaysia telah bersuara dan mengikut jejak langkah demokrasi dunia. Maka, kerajaan hari ini harus melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui oleh kerajaan PH dan pembangkang pada 2019.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sebelum ini menyatakan komitmen mereka terhadap perlaksanaan RUU Undi 18 ini dibuat selewat-lewatnya pada Julai tahun ini. Oleh itu, ayuh segera berikan hak orang muda untuk mengundi.
SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN & DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Kuala Lumpur