AJL lari konsep, tujuan asal - Utusan Malaysia

AJL lari konsep, tujuan asal

Anugerah Juara Lagu merupakan pertandingan muzik tahunan yang mengangkat lagu terbaik sepanjang tahun. – INSTAGRAM TV3
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG.

SAYA mengikuti perkembangan Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak siri pertama pada 1986 lagi. Pada masa itu, ia dikenali sebagai Muzik Muzik, dengan juara pertama Francissca Peter melalui lagu Sekadar Di Pinggiran.

Pada pendapat saya, AJL kini telah lari daripada konsep asal dan tujuan ia diadakan iaitu memilih lagu-lagu yang paling popular sepanjang tahun.

Ia diiringi kualiti muzik bermutu, melodi dan lirik yang menawan semua peringkat pendengar, juga penyanyi yang mempunyai vokal mantap dan menghiburkan.

Penonton AJL ialah seluruh rakyat yang ingin melihat pencipta, penulis lirik dan penyanyi pujaan mereka diberikan penghargaan dengan membuat persembahan yang bermutu dan menghiburkan seterusnya menerima hadiah.

Sejak kebelakangan ini, ramai yang menyatakan ketidakpuasan hati setiap kali selesai rancangan ini. Harapan mereka untuk melihat lagu dan artis yang mereka angkat sepanjang tahun lalu dinobatkan sebagai juara meleset sama sekali. Malahan terdapat lagu-lagu yang begitu bagus pada pendapat mereka langsung tidak masuk ke peringkat final.

Tidak dapat dinafikan, juri-juri terdiri daripada mereka yang sungguh berwibawa dan bijaksana dalam bidang itu. Tidak dapat dinafikan juga, lagu yang mereka angkat menjadi juara tentunya bermutu tinggi dan sungguh unik pada kiraan sendiri.

Tetapi adakah ia telah memenuhi kesemua kriteria yang diharapkan oleh seluruh penonton? Ini kerana pada akhirnya penontonlah yang menjadikan lagu itu juara sepanjang tahun.

Di manakah juaranya lagu itu sekiranya baru dua, tiga bulan dicipta, jarang didengari, tidak digemari oleh semua golongan dan terus hilang dari persada sejurus selepas dinobatkan?

Penonton mahukan lagu yang segar merentasi masa dan memberi inspirasi seperti lagu Sekadar Di Pinggiran, bukan lagu yang hanya ‘singgah di fikiran.’ Fikir-fikirkanlah.

OBSULYMAN
Port Dickson, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya