Ada penganalisis politik jadi tukang kempen - Utusan Malaysia

Ada penganalisis politik jadi tukang kempen

Kajian lapangan yang dibuat mahupun dirujuk oleh penganalisis politik sering dipertikaikan tahap kebolehpercayaan mahupun kewibawaan responden yang dipilih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGANALISIS politik merujuk kepada individu yang menggunakan kepakaran, ilmu, kemahiran dan pengalaman, hasil penyelidikan, pembacaan dan tafsirannya untuk menganalisis keadaan politik semasa.

Antara yang menjadi tumpuan analisis ialah keputusan pilihan raya atau trend pengundian. Selain isu-isu politik dalam negara, ada juga penganalisis yang pakar dalam politik serantau dan dunia.

Bagaimanapun, saya pelik dan keliru melihat sikap sebahagian kecil mereka yang bergelar penganalisis politik hari ini.

Ulasan politik yang diberikan menggambarkan seolah-olah mereka berperanan sebagai jurucakap kepada pihak tertentu.

Penganalisis politik yang mungkin terdiri daripada ahli akademik, pakar daripada badan pemikir, individu bebas dan sempamanya sewajarnya memberi ulasan dengan adil dan seimbang bagi setiap aktor mahupun parti politik yang dinilai, sama ada digemari atau sebaliknya.

Bagi satu penilaian akademik yang adil, adalah mustahil untuk satu-satu keburukan itu hanya terkumpul pada satu pihak dan kebaikan pula tertumpu di pihak yang satu lagi sahaja.

Namun, begitulah yang dapat dilihat dan dinilai pada kualiti hujah mereka yang kononnya mendalami ilmu sains politik ini.

Realiti yang berlaku kini, mereka bukan sahaja dilihat berperanan sebagai jurucakap kepada kelompok disukainya, bahkan seolah sama-sama berkempen untuk pihak tersebut.
Umum makluman, sebahagian penganalisis politik ini sememangnya dianugerahkan jawatan tertentu oleh pihak yang berkuasa.

Ada yang dilantik sebagai sebagai ahli lembaga pengarah dalam agensi tertentu dan tidak kurang juga yang dijanjikan jawatan tertentu dalam jabatan kerajaan atau institusi pengajian tinggi tempat mereka berkhidmat.
Ini dengan syarat mereka memberi ulasan yang boleh memenangkan parti politik yang menganugerahkan imbuhan atau jawatan itu kepada mereka.

Dalam banyak keadaan, kelompok penganalisis politik ini dilihat jelas gagal mengangkat dan menjawab isu sebenar di lapangan.

Sebaliknya, hujah dan penulisan mereka lebih menjurus kepada propaganda politik, selain dilihat cuba menimbulkan isu dan memainkan sentimen yang seolah-olah anti kepada parti tertentu.

Kajian lapangan yang dibuat mahupun dirujuk itu sering dipertikaikan tahap kebolehpercayaan mahupun kewibawaan responden yang dipilih.

Rakyat kini sebenarnya keliru apakah mereka ini penganalisis yang memberi pandangan secara bebas atau sebenarnya sebahagian daripada aktor politik yang dikaji itu?

Perlu disedari, rakyat hari ini semakin bijak. Mereka mampu menilai realiti yang berlaku di persekitaran mereka dengan adil dan lebih terbuka mendengar dan mengakui kelemahan pihak digemari berbanding retorik politik yang mengkhayalkan.

Seandainya profesion yang mulia ini pun sanggup dicagar demi kepentingan peribadi, maka tidak hairanlah jika kredibiliti ahli-ahli akademik dalam negara hari ini dipertikai banyak pihak.

Sewajarnya, integriti dan kebebasan akademik tidak dicemari oleh kerakusan material oleh sebahagian kecil profesor politik di institusi pengajian tinggi kita sendiri!

ALCMAEON AENEAS
Bangsar, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya