“Kalau suami saya ambil rasuah, dah lamalah saya hidup senang. Kaya raya dah kot.” Itu kata seorang sahabat dalam pertemuan kami di Bangi, Ahad lalu.
Marah betul dia.Ceritanya, ada seorang wanita tiba-tiba menghantar mesej menyindir dan menuduh semua anggota polis menerima wang suapan dalam grup WhatsApp persatuan penduduk di rumahnya, baru-baru ini.
Pada mulanya wanita tersebut menyebarkan berita semberono dalam grup itu tentang polis menerima rasuah. Berita itu tiada sumber rasminya dan main petik saja ia melibatkan anggota PDRM.
Hantaran mesej sebegitu menyentap hati sahabat saya dan dia’ naik angin’ sehingga berlakunya soal jawab dalam laman itu dan akhirnya wanita yang membuat tuduhan melulu berkenaan bertindak left group.
Apa yang dia tahu tentang polis? Dia tahu kerja polis tangkap orang jahat, jaga lalu lintas dan pastikan keselamatan kawasan, daerah, negeri dan satu negara! Lain-lain dia tak nak ambil tahu, kata sahabat saya.
“Dia tahu tak, hari-hari isteri polis ini sentiasa berdoa bila suami keluar pergi kerja, macam mana keadaan dia pergi kerja, macam itulah harapnya dia balik rumah? Dia tahu tak, ada isteri polis, yang sambut jenazah suami kena tembak dan kena langgar walhal baru pagi tadi cium tangan suami dan semuanya nampak okay.
“Dia tahu tak, ada anak-anak polis hendak jumpa bapa pun bukan selalu. Kadang-kadang berbulan tak jumpa. Bukan macam anak orang lain, bapa dia ada setiap hujung minggu? Sedap mulut saja cakap polis ambil rasuah,” katanya.
Biasalah dalam negara kita ini, bila segelintir yang ambil rasuah atau melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan jenayah habis terpalit semua yang terdekat. Sedangkan ramai saja polis menjaga integriti. Berkorban jiwa raga dan masa demi tugas. Tetapi yang buruk-buruk jugalah selalu disebut-sebut dan diingat-ingat sampai kiamat agaknya.
Walhal dari hal menjaga keselamatan dan menyelamatkan nyawa manusia, sehinggalah haiwan, polis sentiasa tak menang tangan membantu. Yang baik-baik, ramai pula cepat lupa.
Lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 melanda negara bermula awal tahun lalu. Mac tahun lalu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan macam-macam lagi perintah kawalan selepas itu, anggota polis sebagai frontliners sehingga sekarang berkawal di mana-mana tidak kira panas dan hujan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Itu pun macam-macam juga tuduhan dilemparkan kepada pasukan ini apabila melihat tiada sekatan jalan raya dilakukan.
Iyalah, dah bukan tempoh PKP kenapa orang ramai sibuk hendak polis buat sekatan jalan raya lagi?
Bila polis buat sekatan jalan raya atau kawal lalu lintas, ramai bising kata jalan sesak. Bila polis tak ada pun bising juga.
Khamis lalu, negara ini menyambut Hari Polis Ke-214. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam wawancara dengan Utusan Malaysia memberitahu tahap integriti anggota polis meningkat. Ia boleh dilihat melalui tindakan-tindakan penguatkuasaan dari segi menangani judi, maksiat, dadah dan penyeludupan.
Memberi contoh, Jabatan Narkotik di Johor yang berjaya merampas dadah dan wang tunai bernilai RM2 juta yang bertaburan di lantai. Ia direkodkan dalam laporan polis tanpa ketirisan.
Kata Abdul Hamid, jika seseorang anggota tidak berintegriti, dia akan mengambil wang tersebut dan membahagikan sesama sendiri, namun mereka tampil menyatakan hal itu dalam laporan polis.
Membanteras rasuah bukan perkara mudah dan tidak boleh ditangani dengan masa singkat. Apatah lagi jika seorang ketua juga memberi contoh yang tidak baik. Rasuah berlaku bukan saja dalam polis. Malah dalam banyak organisasi yang kecil-kecil pun rasuah tetap ada. Maka tidak adillah memukul rata semua anggota polis terpalit rasuah.
Kata sahabat saya itu, jika tidak mahu mengiktiraf jasa polis pun, duduk diam-diam sudah. Esok jika ada kecurian, diragut atau kemalangan, guna saja khidmat bomoh habis cerita. – Mingguan Malaysia
Yang buruk juga disebut-sebut
- Oleh Fauziah Md Arof
- 28 Mac 2021, 2:30 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Berjimat cermat saja jalan selesai?
14 Ogos 2022, 10:07 am
Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa
7 Ogos 2022, 7:53 am
‘Rembat’ sajalah kerja yang ada
24 Julai 2022, 7:09 am