Usah diskriminasi golongan belum ambil vaksin - Utusan Malaysia

Usah diskriminasi golongan belum ambil vaksin

PROSES mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia dibuat secara sukarela.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMUA pihak harus memberi ruang secukupnya kepada orang ramai bagi mendapatkan kemudahan suntikan vaksin Covid-19 yang bermula 24 Februari lalu dan dijangka tamat Februari tahun depan.

Tidak mudah untuk semua individu yang dikenal pasti melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membabitkan tiga fasa itu untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka dalam masa terdekat kerana jumlah yang terlibat adalah sangat ramai iaitu jutaan orang.

Sementara menunggu giliran mendapatkan suntikan vaksin, mana-mana pihak di dalam negara kita diminta tidak melakukan sebarang diskriminasi terhadap individu yang belum menerimanya.
Antara contoh diskriminasi yang berkemungkinan boleh berlaku adalah tidak dibenarkan hadir mesyuarat, seminar, kursus, bengkel atau temu duga. Mungkin tidak dibenarkan masuk ke dalam kedai, pasar raya, pusat beli-belah, restoran, hotel, bank, perpustakaan dan tempat beribadat.

Lebih malang jika seseorang tidak dibenarkan masuk ke sekolah atau universiti sehingga menjejaskan proses menuntut ilmu.

Semua contoh yang dinyatakan itu boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak memberi peringatan dan bertindak tegas bagi membendungnya.

Kerajaan harus memastikan tiada pihak mewujudkan peraturan mereka sendiri dengan melakukan diskriminasi terhadap mana-mana golongan yang masih belum mendapat suntikan vaksin.
Perlu diketahui, kemudahan suntikan vaksin Covid-19 adalah satu proses sukarela. Orang ramai tidak boleh dipaksa secara langsung atau tidak langsung untuk mengambil suntikan vaksin.

Perlembagaan Persekutuan kita jelas menyatakan tidak boleh berlaku diskriminasi terhadap mana-mana pihak. Perkara 8(2) menyebut: “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang…”

Walaupun Perkara 8(2) tidak menyatakan dengan jelas mengenai diskriminasi atas alasan atau faktor pengambilan vaksin, namun perlu diketahui Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dibaca secara keras dengan hanya memberi tumpuan kepada ayat-ayat yang tertulis.

Perlu juga diketahui, prinsip sama rata di sisi undang-undang dan pencegahan amalan diskriminasi ini adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia.
Artikel 7 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 jelas menyatakan: “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak tanpa apa-apa pembezaan kepada perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.”

Oleh yang demikian, adalah penting tiada pihak atau institusi yang mengambil peluang untuk melakukan sebarang diskriminasi terhadap mana-mana individu yang belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 atau tidak mahu menerima suntikan itu. Hak dan kebebasan setiap individu perlu dihormati dan dilindungi pada setiap masa.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya