SAUDARA PENGARANG,
MUKTAHIR ini, UMNO sering kali diserang di media sosial oleh sebahagian pemimpin dalam parti itu sendiri. Setiap kali serangan, pemimpin-pemimpin ini menggunakan hujah bahawa ia kehendak akar umbi.
Seharusnya kita jelas tentang peranan masing-masing dan saya cuba merungkaikan isu ini berdasarkan hujah mengikut Fasal dalam Perlembagaan UMNO, iaitu:
1. Fasal 8 – Perhimpunan Agung UMNO (PAU)
2. Fasal 8.1 – PAU adalah kuasa tertinggi dan perjalanan parti adalah berasaskan kuasa dan perintahnya tertakluk kepada Perlembagaan dan Peraturan UMNO.
3. Fasal 8.3.1 – Tugas PAU tahunan ialah menentukan dasar-dasar parti.
Justeru, apa yang dilakukan oleh UMNO adalah betul, iaitu mengumpulkan usul-usul daripada cawangan dan diangkat pada persidangan bahagian sebelum dibawa ke PAU.
Majlis Tertinggi (MT) pula perlu berperanan mengikut:
1. Fasal 9 – MT UMNO.
2. Fasal 9.1 – MT menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal ehwal UMNO di bawah kekuasaan dan perintah PAU. MT berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak PAU pada masa ketiadaannya tetapi segala langkah itu hendaklah dimaklumkan.
Sementara Fasal 9.8.1 adalah berkaitan tugas Presiden dalam MT:
1. Fasal 9.8.1.1 – Menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.
2. Fasal 9.8.1.2 – melantik Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan
3. Fasal 9.8.1.3 – Memanggil dan mempengerusikan sidang MT.
Fasal 10.1 pula berkenaan tanggungjawab MT untuk menjalankan sebarang usaha bersama dengan kumpulan-kumpulan lain atas hal-hal politik dan bersesuaian.
Maka, surat Presiden UMNO kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mesyuarat MT UMNO yang bersidang di Janda Baik tempoh hari juga berdasarkan bidang kuasa dan teratur mengikut Perlembagaan UMNO.
Atas sebab inilah, pemimpin seharusnya menghentikan hujah konon membawa hasrat akar umbi UMNO kerana sebagai ahli, kita mempunyai peranan khusus dan ia ditulis dengan jelas dalam Perlembagaan parti.
Banyak lagi fasal dalam Buku Perlembagaan namun saya hanya memetik mengikut konteks yang berkenaan. Semua fasal ini menunjukkan tindakan Presiden UMNO dan MT adalah mengikut garis panduan dan punca kuasa mereka.
Justeru, seharusnya pemimpin UMNO sendiri perlu mengetahui peranan dan hak masing-masing mengikut hierarki yang jelas tertera dalam Perlembagaan UMNO.
MUHAMAD HARIF
Ketua Pemuda
UMNO Cawangan Kuala Ampang