SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA ketika ini mengimport lebih 1.2 juta tan metrik beras iaitu sekitar 30 hingga 35 peratus setahun bagi memenuhi keperluan penduduk negara ini.
Perkembangan teknologi pertanian bergerak perlahan serta pengamalan pengurusan sawah yang sesetengahnya masih di takuk lama berbanding negara-negara Asia lain adalah antara faktor penyumbang kepada penghasilan beras negara yang rendah.
Apa yang jelas ialah kemajuan sektor pertanian memerlukan penggunaan teknologi sesuai termasuk yang menjimatkan tenaga buruh. Oleh itu, langkah bagi mewujudkan transformasi ke arah pertanian moden amat perlu.
Justeru, program Smart Sawah Berskala Besar dilancarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan baru-baru ini yang bermatlamat meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 kepada RM7,900 setahun adalah satu khabar gembira yang diharap dapat memberi suntikan semangat kepada pesawah.
Pelaksanaan program ini diyakini mampu mengurangkan risiko dan kos penanaman padi yang ditanggung oleh pesawah selain dijangka membantu negara mencapai tahap sara diri (SSL) beras yang lebih tinggi.
Jika kena caranya, tidak ada yang boleh menghalang Malaysia untuk menjadi kuasa besar dalam sektor pertanian. Berubahlah sekarang. Jika tidak, bila lagi.
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya