SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan mengesahkan telah menghantar pulang 1,086 warga Myanmar ke negara asal pada 23 Februari lalu yang antara mereka didakwa etnik minoriti, pelarian termasuk kanak-kanak dan pencari suaka.
Tindakan jabatan itu adalah tidak adil serta tidak berperikemanusiaan menurut undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama apabila terdapat pendedahan bahawa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak diberi peluang untuk memeriksa dan mengesahkan identiti mereka yang akan dihantar pulang.
Kami juga merujuk pandangan beberapa pihak bahawa tindakan jabatan terbabit meneruskan operasi penghantaran pulang boleh dilihat sebagai menghina mahkamah.
Ini kerana pada hari sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan permohonan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi menghalang kerajaan Malaysia menghantar pulang warga Myanmar itu ke negara asal.
Tindakan mengingkari perintah Mahkamah Tinggi adalah satu perbuatan yang menghina mahkamah dan menjadi kesalahan di bawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan yang harus dikecam.
Kami percaya adalah amat penting bagi mahkamah untuk menegakkan keadilan secara berwibawa sebagai sebuah badan bebas dan memastikan Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab di atas tindakan mereka yang boleh dianggap sebagai tidak mematuhi perintah mahkamah.
GABUNGAN PERTUBUHAN SIVIL
@FOECLUSTER.ORG